Erra, Yusry bertunang esok

KUALA LUMPUR: Sudah sah sekarang pelakon jelita Erra Fazira Wan Chik, 28 dan anggota kumpulan popular KRU, Yusry Abdul Halim, 30 akan bertunang pada jam 3 petang esok.

Kenyataan akhbar kepada Berita Minggu semalam turut menamatkan segala spekulasi serta khabar angin mengenai status hubungan pasangan selebriti yang pernah suatu ketika dulu dikatakan retak menanti belah.

Yusry sendiri mengesahkan tarikh pertunangannya dengan Erra pada 03.03.03 (esok). Hantaran untuk Erra pula berjumlah RM33,333.33 dengan 33 anggota rombongan daripada pihak lelaki.

Pasangan sama cantik dan sama padan ini dikatakan buat pertama kali dipertemukan dalam satu sesi fotografi dua tahun lalu. Sejak itu mereka mula rapat dan cuba mengenali hati budi masing-masing.

Erra dan Yusry juga pertama kalinya digandingkan sebagai tonggak utama filem 'Mr Cinderella' arahan Ahmad Idham.

Mereka baru saja kembali ke tanah air selepas selesai penggambaran filem terbaru mereka bersama berjudul 'Mr Cinderella 2' terbitan Kuasatek Pictures Sdn Bhd.

Menurut laporan media yang turut serta mengikuti penggambaran di Christchurch, New Zealand itu, kemesraan antara mereka memang tidak dapat disangkal lagi. Tetapi sepanjang penggambaran Erra kelihatan seperti resah gelisah dan menyembunyikan sesuatu.

Dia dilaporkan agak tertekan kerana terlalu banyak perkara yang sedang bersarang dalam fikiran.

Apapun Erra mengakui (Persada Seni, kelmarin) ada ‘sesuatu’ dirancangkan pada tanggal 03.03.03 ini dan meminta pihak media supaya tunggu dan lihat saja apa yang akan berlaku.

Nampaknya segala kesabaran dan penantian peminat setia pasangan itu berbaloi apabila majlis pertunangan gemilang itu akan dilangsungkan di kediaman keluarga Erra yang terletak di Damansara.

Selain, 'Mr Cinderella 2', pasangan kekasih yang sedang dilamun asmara ini juga akan digandingkan bersama dalam filem 'Cinta Kolesterol' terbitan Metrowealth Movies Production Sdn Bhd yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Sebelum ini Erra Fazira pernah mengikat pertunangan dengan penyanyi rock ternama Awie namun ikatan itu tidak berpanjangan.