FILEM 'Gila-Gila Pengantin' yang akan ditayangkan bermula 30 Januari ini melebarkan promosinya di universiti dalam usaha menarik perhatian pelajar pusat pengajian tinggi untuk menyokong industri filem tempatan.
Menerusi acara Sembang Filem 'Gila-Gila Pengantin' di Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), ternyata ia mendapat sokongan padu pelajar dan pensyarahnya apabila kehadiran pengarah dan bintang filem itu mendapat sambutan cukup meriah.
Biarpun filem terbaru arahan Aziz M Osman itu cuma sebuah karya komersial, sokongan yang ditunjukkan warga UiTM membuktikan filem tempatan masih mendapat perhatian di kalangan golongan terpelajar.
Kehadiran Erra Fazira, Norman Hakim, Juliana Banos dan Syanie Hisham serta Aziz diraikan dengan penuh kemeriahan, serentak diadakan persembahan tarian mak yong dan menora serta tarian khas daripada sekumpulan pelajar dari Korea.
Sembang filem itu banyak membicarakan pengalaman artis dan pengarah dalam produksi 'Gila-Gila Pengantin' yang menjurus kepada keistimewaan yang ada pada filem itu.
Majlis itu dipengerusikan pelajar UiTM, Adib Anas yang membariskan ahli panelnya Erra Fazira, Juliana, Norman dan Syanie.
Setiap adegan dan babak dalam filem ini ada kekuatannya tersendiri, ada cerita yang mahu disampaikan. Saya sendiri apabila hendak buat suntingan bagi mendapatkan trailer promosinya, sukar untuk pilih babak yang baik kerana semuanya baik bagi saya.
Bilangan filem Melayu semakin bertambah sejak akhir-akhir ini, malah tahun ini saja ada 12 filem untuk isi pawagam. Sebab itu kita cadangkan supaya tayangan dua filem sekali gus dalam masa sebulan tetapi pernah berlaku percanggahan sebelum ini apabila filem 'Idola' arahan saya bertembung hampir serentak dengan filem lain.
Saya percaya karyawan filem kita tidak kurang hebatnya tetapi kita masih ada rasa rendah diri dan tidak ada standard. Filem 'Leftenan Adnan' selain menang anugerah di Festival Filem Asia Pasifik dan apabila ditayang di Jepun, penonton di sana meminta maaf pada saya kerana datuk nenek mereka pernah serang negara kita.
Yang penting, kita kena sokong industri filem kita. Filem kita juga sudah membuktikan orang filem mendapat tempat di peringkat antarabangsa seperti pengiktirafan kepada Khalid Salleh, U-Wei Saari, Sidi Oraza dan Khatijah Tan, kata Aziz.
Sementara itu, Norman juga mengakui seronok bekerja dengan Aziz kerana dia tahu untuk memperkembangkan watak yang dibuat untuk filemnya dan banyak kenangan menarik ketika penggambaran dijalankan sehingga dia nyaris terjatuh dalam kolam.
Erra Fazira pula mengakui wataknya dalam 'Gila-Gila Pengantin' memberi banyak kelainan dan seronok dengan gaya komedi yang ditampilkan.
Memang saya pernah bekerja dengan beberapa pengarah lain selepas Datuk Yusof Haslam. Setiap pengarah ada gaya masing-masing. Aziz tahu apa yang dia hendak. Saya selalu bertanya Aziz untuk watak saya, apa yang dia mahu sebenarnya dan saya cuba sampaikan yang terbaik.
Sebab itu, untuk mudah bekerja, saya selalu bertanya. Dalam penggambaran, saya tidak pernah nampak Aziz garang... malah dia sangat cool, kata Erra sambil disambut ketawa penonton.