Memerhati hubungan mereka sewaktu berada di lokasi filem Mr Cinderella 2 (MC2) di Christchurch, New Zealand, baru-baru ini, dapat disimpulkan Yusry dan Erra sudah bersedia untuk suatu ikatan. Namun yang jelas, terlalu berat untuk kedua-dua mereka mengiyakan bahawa mereka akan bertunang apalagi berkahwin buat masa ini.
Apapun, Erra, 28, mengakui ada `sesuatu dirancangkan pada tanggal 03.03.03 ini dan hanya meminta pihak media supaya tunggu dan lihat saja apa akan berlaku.
Erra harap sangat supaya pihak media faham dengan kedudukan Erra. Memang ada sesuatu yang dirancangkan pada tarikh itu (03.03.03), tapi biarlah dalam bab-bab begini, Yusry saja yang bercakap. Erra kan perempuan, kata Erra kepada Persada Seni ketika ditemui di ladang bebiri Malvern Abattoir, Burnham, kira-kira 30 kilometer dari Christchurch.
Berbeza dengan Erra yang cuma terbabit dengan empat babak saja, Yusry, 30, kelihatan lebih sibuk dengan penggambaran di pelbagai tempat setiap hari. Keadaan itu juga memberikan Yusry satu peluang untuk mengelak daripada ditanya soalan bercorak peribadi.
Lagipun pihak media memahami semua krew ligat mengejar masa dan tidak mahu mood Yusry terganggu ketika di lokasi. Selesai tugasnya pada setiap malam, Yusry terus pulang ke sebuah banglo yang didudukinya bersama seorang teman baik dari Kuala Lumpur serta juru solek MC2, Kay Azman.
Namun sebelum bertolak New Zealand, Yusry mengakui dia sudah lebih dua tahun mengenali hati budi Erra selepas mereka mula bertemu dalam satu sesi fotografi untuk sebuah majalah hiburan popular.
Sejak itu, hubungan kami semakin erat dari hari ke sehari. Untuk bertunang atau berkahwin, kami tidak mahu terburu-buru dan akan umumkan nanti. Bagi saya, kalau bertunang pun nak buat PC (sidang media), ia nampak keterlaluan, kata Yusry yang lebih suka menzipkan mulut.
Apa yang diperhatikan, raut wajah Erra sewaktu di New Zealand semacam menyembunyikan sesuatu. Ada ketikanya, dia nampak ceria dan pada masa tertentu, bekas Ratu Cantik Malaysia itu kelihatan suram. Mungkin terlalu banyak perkara bersarang di dalam kotak fikiran Erra.
Ya, memang Erra kadang-kadang tertekan. Banyak perkara yang Erra fikirkan sampai kadang-kadang tidak boleh tidur malam. Apa yang ada dalam fikiran Erra ini hanya Tuhan saja yang tahu. Tapi setiap satu dugaan yang Erra lalui selama ini, Erra cuma telan sendiri.
Erra tak nafikan, kadang-kadang Erra cukup sedih membaca tulisan sesetengah wartawan yang tidak pernah memikirkan perasaan Erra sebagai seorang perempuan. Yang paling Erra sedih ialah air mata ibu Erra menitik apabila mendengar sesuatu perkara negatif terjadi ke atas Erra.
Tapi apa boleh buat, Erra seorang artis dan setiap perkara yang Erra buat sentiasa diperhatikan orang. Erra cuma berdoa supaya Tuhan terus beri Erra kekuatan, katanya.
Sementara itu di Kuala Lumpur, abang Yusry, Norman Abdul Halim, dilaporkan sudah mengesahkan tarikh pertunangan adiknya itu dan Erra pada 03.03.03 ini.
Memetik kata-kata Norman dalam sebuah akhbar Inggeris semalam, dia memberitahu mereka akan ditunangkan pada 3 Mac ini jam 3 petang. Malah hantaran untuk Erra juga disebut berjumlah RM33,333.33 dengan 33 anggota rombongan daripada pihak lelaki.
Kini hanya takdir dan masa yang menentukan. Ketika ini berita ini ditulis semalam, pasangan Erra dan Yusry barangkali sedang melintasi gurun Australia dengan pesawat Air New Zealand untuk kembali ke tanah air. Selamat bertunang!