Tayangan amal 'Soalnya Siapa' di USM
Oleh Roslen Fadzil
SELEPAS kejayaan 'Soal Hat'i, kini Serangkai Filem Sdn Bhd bersiap sedia untuk mempertaruhkan pula filem komedi romantis terbarunya yang lebih hebat lagi mencuit hati 'Soalnya Siapa'.
Mengekalkan pasangan Erra Fazira serta Afdlin Shauki, filem arahan Othman Hafsham itu akan mula dipertontonkan dan warga Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, menjadi kelompok pertama menyaksikan filem itu menerusi dua tayangan amal pada 30 Oktober ini.
Bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra USM, tayangan pertama akan bermula jam 4.45 petang manakala tayangan kedua pula 8.45 malam.
Produser Serangkai Filem, Habsah Hassan, berkata antara VIP undangan pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon serta Naib Canselor USM, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak.
USM menjadi tempat pertama tayangan 'Soalnya Siapa' kerana penggambarannya banyak dilakukan di universiti itu, kira-kira 30 hingga 40 peratus.
Yalah, orang berbudi, kita berbahasa dan sebab itulah warga USM diberi penghormatan menjadi penonton pertama menyaksikan 'Soalnya Siapa', kata Habsah kepada Persada Seni, baru-baru ini.
Beliau berkata, tiket bagi menyaksikan tayangan amal itu ialah RM10 untuk pelajar manakala pada sebelah malamnya pula berharga RM20 dan RM50. Difahamkan, kutipan bagi kedua-dua tayangan itu akan disalurkan kepada Tabung Biasiswa USM.
Habsah yang juga penulis lirik prolifik berkata, rombongan Serangkai Filem termasuk wakil media massa dari Kuala Lumpur akan berlepas ke Pulau Pinang dengan koc khas pada awal pagi Rabu.
Antara artis yang akan hadir menyertai tayangan menarik itu ialah Erra Fazira, Afdlin Shauki, Ellie Suriaty, Zaibo dan Khatijah Tan.
Pada keesokannya, Khamis, sesi fotografi sekitar USM akan berlangsung dan rombongan terbabit dijangka kembali ke ibu negara pada awal petang.
Menjawab pertanyaan lain, Habsah berkata, 'Soalnya Siapa' sudah mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) dan hanya satu babak saja dipotong.
Pemotongan itu bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan filem ini. Saya berharap 'Soalnya Siapa' akan ditayangkan pada bulan raya ini dan mendapat sokongan peminat filem.
Seperti juga filem lalu, 'Soalnya Siapa' menyelitkan mesej yang tersirat terutama untuk generasi muda. Saya tertarik dengan corak lakonan pelakonnya. Ellie Suriaty juga cemerlang dalam filem ini, katanya.
'Soalnya Siapa' turut dimantapkan oleh pelakon baru dan lama seperti Pie, Wan Maimunah, Rashid Salleh, Linda Onn, Sharifah Shahirah, Aziz Sattar, Yusni Jafar dan Jaafar Onn.