SERANGKAI Filem kini boleh menarik nafas lega apabila filem terbaru mereka, 'Soalnya Siapa?' yang masih mengekalkan Erra Fazira dan Afdlin Shauki sebagai pelakon utamanya akan ditayangkan serentak di 30 pawagam di seluruh negara, bermula hari ini.
Penerbitnya, Habsah Hassan memberitahu Persada Seni, sebahagian besar pawagam yang akan menayangkan filem terbarunya itu berada di bawah pengendalian beberapa syarikat pempamer gergasi termasuk Golden Screen Cinemas (GSC), Tanjong Golden Village (TGV) dan Mega Pavillion.
Sebenarnya, kita minta lebih. Tapi, kita dapat 30 panggung saja. Cukuplah, ini pun sudah cukup banyak. Dengan jumlah panggung yang sedia ada ini, kita berharap sangatlah lebih banyak penonton dapat menyaksikan 'Soalnya Siapa?', katanya yang juga penulis skrip filem komedi romantik itu.
Beliau menjelaskan pihaknya ketika ini sedang sibuk mempromosikan 'Soalnya Siapa?' dengan menggunakan pelbagai medium, termasuk media cetak, stesen televisyen dan radio.
Selain kempen pengiklanan di media, kita turut terbabit dalam kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri. Kita turut menerbitkan album khas dengan kerjasama Sony Music, memuatkan lagu latar dan lagu tema 'Soalnya Siapa?'. Tidak ketinggalan beberapa siri tayangan perdana sebelum ini.
Kita berbelanja sebanyak RM300,000 bagi mempromosikan 'Soalnya Siapa?'. Ini menjadikan kos penerbitan keseluruhannya mencecah RM1.3 juta. Tinggal beberapa hari saja lagi tayangan filem ini akan bermula di seluruh negara. Jadi, promosi kita kenalah agresif sikit, katanya.
'Soalnya Siapa?' diarahkan Othman Hafsham. Selain Erra dan Afdlin yang membawakan watak utama Nurul Ain dan Ahmad Daniel, 'Soalnya Siapa?' turut dibintangi oleh Khatijah Tan, Rashid Salleh, Ellie Suriaty Omar, Jaafar Onn, Sharifah Shahira, Linda Onn, Yusni Jaafar, Zaibo, Piee serta Wan Maimunah Wan Abdul Aziz.
Ia masih berkisarkan kehidupan Nurul Ain, seorang gadis kampung yang melanjutkan pelajarannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang selepas berjaya dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Dari situ, dia membulatkan tekad untuk berjaya dalam pelajaran, seterusnya mendapatkan pekerjaan yang baik dan meningkatkan taraf kehidupannya sekeluarga.
Di masa yang sama, hubungan Nurul Ain dan buah hatinya, Ahmad Daniel, seorang ahli perniagaan terkemuka di ibu negara mulai renggang kerana jarak memisahkan mereka. Kebetulan pula, mereka pun sibuk dengan komitmen masing-masing. Keadaan bertambah rumit apabila bekas kekasih Nurul Ain, Johari (lakonan Rashid Salleh) mahu menagih kasihnya kembali.
Akhirnya, dia keliru dalam memilih pasangan hidupnya. Daniel pula tidak henti-henti mahukan kata putus daripadanya mengenai hubungan mereka. Akibat terlalu tertekan, Nurul Ain memberanikan diri bersemuka dengan Daniel. Dia menceritakan kisah benar mengenai dirinya yang dirahsiakannya selama ini.
Itu saja yang dapat saya cerita buat masa ini. Jika anda mahu tahu apakah perkara peribadi yang dirahsiakannya selama ini, tontonilah 'Soalnya Siapa?' hanya di pawagam. Jangan beli yang cetak rompak, kata Habsah.
Tambah Habsah, 'Soalnya Siapa?' jauh lebih baik berbanding 'Soal Hati', terutamanya dari segi penggarapan jalan ceritanya, selain kemampuan setiap pelakon menghayati watak hingga menjadikan filem itu benar-benar hidup dan meninggalkan kesan mendalam di kalangan penonton.
Babak Nurul Ain berkonfrontasi dengan Daniel cukup menarik. Dia begitu berani bercerita mengenai segala kekurangan pada dirinya. Sebenarnya, saya turut menyelitkan banyak unsur nasihat dalam filem ini. Dalam ketawa, saya mahu penonton menyelami yang tersirat di sebalik yang tersurat. Ini tanggungjawab saya kepada masyarakat, katanya.
Beliau juga tidak menafikan filem terbarunya cuba mengangkat martabat wanita dengan memaparkan kegigihan mereka menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Bermula 12 tahun lalu apabila saya menerbitkan filem pertama, 'Hati Bukan Kristal' yang menggandingkan Julia Rais, Erma Fatima, Allahyarham A Rahim dan Ridzuan Hashim. Kemudiannya, menyusul 'Soal Hati' yang buat pertama kalinya menggandingkan Erra dan Afdlin pada 1999.
Kini, 'Soalnya Siapa?' pula. Boleh dikatakan semua filem saya berkisarkan mengenai kehidupan wanita, bagaimana mereka gigih meneruskan kehidupan, pengorbanan mereka dan keberanian mereka menghadapi pelbagai dugaan. Tapi, dalam 'Soalnya Siapa?', saya mahu ingatkan golongan wanita, khususnya anak-anak gadis supaya berhati-hati dalam perhubungan.
Paling penting, kita jangan terlalu mudah mempercayai orang lain hingga membiarkan diri terpedaya dan menyerahkan segala-galanya, termasuklah maruah diri kita, katanya.
Habsah menjelaskan filem terbarunya itu menyelitkan unsur kebudayaan Melayu yang semakin dilupakan kini.
Moden macam mana pun, kita kena sedar dari mana kita datang dan asal usul kita. Kita kena berpegang kepada hakikat, di mana bumi di pijak di situ langit kita junjung, katanya.