TANPA menyedari jarum jam berputar, sudah seminggu penggambaran 'Mr Cinderella 2' (MC2) berlangsung di New Zealand. Mengikut jangkaan, penggambaran akan selesai Rabu ini tetapi saya dan wartawan Harian Metro, Hartati Hassan Basri, terlebih dulu terbang pulang ke Kuala Lumpur, semalam.
Kami terpaksa balik lebih awal kerana banyak urusan lagi perlu dibereskan walaupun produser Kuasatek Pictures, Mohd Noor Kadir, sebenarnya mahu kami terus berada di Christchurch hingga Khamis ini dan pulang bersama artis dan krew MC2 lain.
Bagi kami, semua itu tidak menjadi masalah kerana yang penting, misi untuk meninjau sendiri penggambaran filem cereka kedua Kuasatek Pictures itu sudah pun terlaksana.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya melihat produksi Kuasatek Pictures dihasilkan di luar negara. Sebelum ini pada Mac 2000, saya pernah meninjau pembikinan drama bersiri mereka, Salam Taj Mahal, di New Delhi dan Agra, India.
Turut berada di sana ketika itu ialah ramai stars termasuk M Nasir, Umie Aida, Eja (Roda Impian), Vanidah Imran, Zizie Ezette, Erma Fatima dan Rashidi Ishak.
Kali ini seperti yang ramai tahu, hanya empat saja bintang popular diterbangkan oleh Kuasatek Pictures mengikut tuntutan skrip iaitu Erra Fazira, Yusry, Maya Karin dan Rashid Salleh.
Apa yang saya perhatikan, produksi MC2 setakat ini lebih teratur dan licin berbanding di New Delhi dulu. Ini kerana perancangan dibuat termasuklah berurusan dengan Majlis Bandaraya Christchurch, membayar segala caj yang patut dan lebih penting, membuat recce bagi lokasi yang diperlukan untuk 29 babak serta montaj.
Umum tahu, recce amatlah penting bagi sesuatu penggambaran apatah lagi di luar negara kerana ia dapat menjimatkan kos dan masa. Tugas ini biasanya dibereskan oleh PM (Pengurus Produksi) dengan bantuan agensi yang sudah dilantik.
Kalau main redah pada saat-saat akhir seperti di India dulu, maka banyaklah masalah timbul. Lagipun dulu, saya perhatikan krew Kuasatek juga berdepan dengan masalah cakap putar belit agensi filem di New Delhi. Hari ini dia cakap begini, esok pula lain. M Nasir juga jadi tension! Mereka asyik mengenakan caj itu dan ini - mungkin kerana menganggap orang Malaysia semuanya kaya raya!
Susah juga kita hendak mengikut rentak mereka tetapi apa boleh buat kerana penggambaran ketika itu sudah berlangsung separuh jalan.
Malah saya terkejut kerana penggambaran yang dirancangkan dalam binaan agung Taj Mahal tidak dapat dijalankan (kebetulan ketika itu bekas Presiden Amerika, Bill Clinton, juga hendak melawat Taj Mahal). Sebaliknya, krew terbabit terpaksa berpusing jauh ke belakang Sungai Jamuna dan cuma mampu merakamkan wajah Tak Mahal dari jauh. Nasib, nasib...
Baiklah, berbalik kepada MC2 di New Zealand, segala shot yang dimahukan pengarah Din CJ rasanya mampu diperoleh. Walaupun tidak 100 peratus, tetapi daripada monitor TV, kami dapat melihat teknik fotografi dan kesan sinematografi yang cantik sentuhan DOP, Devan Raghavan. Harap-harap apabila proses filem nanti, tolonglah jaga kualiti.
Yang seronok, bukan saja bebiri gebu di Cockburn Farm, malah burung putih jinak di Cathedral Square pun pandai berlakon. Kalau tidak dipotong nanti, tengoklah bagaimana seekor burung tiba-tiba menghampiri sebelah kasut tumit tinggi Erra (kasut Cinderella) berwarna merah yang tertinggal di atas tembok. Shot itu berjaya dirakamkan dengan cantik.
Cuma saya fikir untuk produksi sebegini lain kali, bawalah sekali Pengarah Penataan Seni kerana ia dapat mencantikkan lagi pembikinan. Memanglah ini menipiskan sedikit poket Mohd Noor Kadir tetapi alang-alang mandi, biarlah basah lencun. Bukan apa, kadang kala bukan semua benda yang pengarah filem nampak dan inilah gunanya teamwork yang mantap. Seperkara lagi elok juga dalam team ini dimasukkan seorang penjaga wardrobe untuk melicinkan bab-bab wardrobe pelakon yang terbabit.
Apapun, kemewahan Puteri Megawati (Erra) sebagai anak raja cuba ditonjolkan dengan ketara kali ini. Kalau di babak di KL tiga minggu lalu hebat dengan Ferrari, Rolls Royce, Jaguar, Mercedes dan motosikal Harley Davidson, adegan di Christchurch juga tidak lekeh dengan limosine Fairlane Ford berharga RM250,000 yang membuatkan Erra tersandar di belakang serta BMW Sports (RM350,000) yang Maya pandu bersama Yusry hingga jauh ke dalam ladang gandum dan bebiri.
Hai, menoleh juga orang New Zealand melihat mereka berlakon tetapi yang tidak enak, semua ingatkan itu produksi Bollywood... Hai, begitulah kuatnya pengaruh Aishwarya Rai, Amisha Patel dan Hrithik Roshan dalam dunia ini. Jumpa lagi!