'Mr Cinderella 2' ujian terhebat Din CJ

SEBUT saja Nordin Wahab Changkat Jering, memang payah nama itu untuk melekat di telinga kita. Namun apabila mendengar Din CJ, tentu ramai yang teringat sentuhan listriknya pada drama bersiri 24 episod yang pernah menggamit jutaan penonton suatu ketika dulu. Apa lagi kalau bukan 'Cinderella' serta 'Romeo & Juliet'.

"Christchurch di New Zealand sekali lagi menjadi pilihan kami untuk lokasi luar negara. Penggambaran di sana dijangka mengambil masa 14 hari. Kami dijangka berlepas ke sana selepas selesai penggambaran di Malaysia yang dijangka memakan masa sebulan," katanya kepada Persada Seni apabila mula dirapati.

"Mulanya kami mahu memilih Auckland, malangnya atas sebab-sebab keselamatan, krew 'Mr Cinderella 2' dilarang mengadakan penggambaran di lapangan terbang bandaraya itu," katanya.

Mengikut perancangan awal juga, Nordin enggan mengulang lokasi yang sama dengan drama bersiri 'Cinderella' dulu tetapi sesekali fikir apa salahnya juga kerana New Zealand turut menjadi lokasi filem adaptasi karya agung Tolkien - 'The Lord of The Rings'.

"Lagipun hubungan kami dengan orang di sana sudah ada dan ini memudahkan lagi kerja pembikinan filem ini kelak," katanya.

Nordin mengakui dia dan warga kerjanya lebih menekankan kepada lakonan dan teknik fotografi dengan penggunaan kelengkapan penggambaran canggih.

"Bagi saya fotografi yang cemerlang adalah nyawa sesebuah filem," katanya dengan penuh bermakna.

Kerja secara berkumpulan juga amat dititikberatkan. Tidak hairanlah jika Nordin dibantu tiga pembantu pengarah termasuklah dramatis Ainina Ahmad B yang bertanggungjawab menjaga lakonan dan susun dialog. Dengan cara itu, tugas Nordin lebih fokus tanpa diganggu hal lain.

Cabaran serta tanggungjawab memang banyak. Nordin mengakui terpaksa bergantung kepada kebolehan pengarah fotografinya (DOP), di samping sokongan artis dengan mengikuti jadual penggambaran, lakonan serta disiplin yang ketat.

"Jadual penggambaran mestilah dihormati. Ia adalah rukun yang menjadi asas kepada lakonan yang baik. Tegas sangat pun tidak boleh tapi semua kena tahu tugas masing-masing," jelasnya yang berdebar-debar untuk bekerja dengan Anita Sarawak dalam filem itu.

Selama ini Nordin mengakui cukup bertuah kerana produser Kuasatek Pictures Sdn Bhd dan rakan sekutunya, Skop Productions Sdn Bhd bukan saja sanggup mempertaruhkan kos yang besar (RM1.3 juta) untuk filem ini malah tidak pernah mengganggu kerja kreatifnya.

"Apapun bagi saya, Malaywood tetap nombor satu berbanding `wood' yang lain. Produksi kita sebenarnya tidak kurang hebatnya kerana penggiat seni perfilemannya mampu menghasilkan produk yang seni kreatif walaupun dengan kos yang cukup rendah. Cuma kita masih belum hebat mampu meneroka pasaran," katanya.