Krew 'Mr Cinderella 2' ligat kejar masa

DEMI memastikan filem kedua terbitan Kuasatek Pictures Sdn Bhd, 'Mr Cinderella 2' (MC2) mencapai kualiti yang diharapkan, pengarah Nordin Wahab atau Din CJ, cuba merakamkan sudut penggambaran terbaik sekali pun terpaksa mengejar masa.

Setakat tiga hari pertama penggambaran sejak Isnin lalu, Din berjaya menyiapkan lapan babak dengan tiga lokasi yang istimewa di Christchurch serta pinggir bandar yang terkenal bersih dan landskap yang menawan ini.

Antara lokasi pilihan Din dan Pengurus Produksi MC2, Khir Mohd Noor ialah Christchurch Botanic Gardens, Lyttelton Port, ladang bebiri Cockburn Farm di Rollerston serta pusat penyembelihan bebiri Malvern Abattoir, Burnham.

Dengan bantuan sembilan krew teknikal dan produksi dari Kuala Lumpur serta empat lagi dari Queenstown, pengarah berusia 36 tahun ini nampaknya tekun bertugas.

Din juga teliti mencipta shot supaya pemilihan lokasi di New Zealand bukan sekadar sambil lewa. Apa yang diperhatikan, penggambaran hari ketiga filem yang dijangka blockbuster itu menyaksikan cabaran cuaca apabila tiba-tiba hujan melanda lokasi sewaktu semua pelakon, krew malah pelakon tambahan - 500 bebiri - sudah bersiap sedia untuk berlakon!

Lalu, keadaan itu memaksa Pengarah Fotografinya, Daven Raghavan yang berada di atas kren setinggi lima meter diturunkan kerana angin terlalu kencang.

"Inilah cabaran yang biasa terjadi dalam pembikinan filem. Lebih-lebih lagi berada di negara orang, inilah kemungkinan yang perlu kita tempuh. Tapi kita tidak boleh membuang banyak masa dan kena beralih ke lokasi lain kalau keadaan tidak mengizinkan. Ini kerana kita perlu habiskan 29 babak termasuk montaj dalam masa 10 hari di New Zealand. Mahu tidak mahu kita kena kejar masa," kata Din kepada Persada Seni.

Buat masa ini Din berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan semua pelakon yang berada di New Zealand iaitu Erra Fazira, Yusry KRU, Rashid Salleh dan Maya Karin.

Antara babak penting yang dilakukan di sini ialah pertemuan Hakimi (Yusry) dengan Anis (Maya) bagi urusan perniagaan. Dalam pertemuan itu, Hakimi dibawa melawat perkembangan syarikat Anis, Agro Products, di kawasan ladang ternakan bebiri, pusat penyembelihan serta penempatan kargo di pelabuhan.

Selain itu, babak `konfrontasi' antara Anis dan Shamsul (Rashid Salleh) dibuat di kawasan teluk yang indah, Windy Rock Point. Sesekali, orang tempatan yang melintasi lereng bukit itu dengan kereta dan basikal turut berhenti melihat penggambaran mereka.

"Adakah dia aktres Hindustan? Dia sangat cantik!" tanya seorang rakyat New Zealand yang melihat Maya Karin bergaya dalam sebuah BMW Sports berwarna perak metalik. Jelas wajah Maya lebih jelita apabila disolek oleh juru mekap dari Kuala Lumpur, Kay.

Namun selepas memberitahu bahawa produksi itu datang dari Malaysia, warga Kiwi terus tersenyum dan mula bertanya latar belakang Maya dan pelakon lain daripada krew yang berada di situ.

Apa yang pasti, penggambaran 'Mr Cinderella 2' terus rancak dan ditangani dengan lebih berhati-hati oleh Din.

Hingga Khamis lalu, semua yang terbabit kelihatan sibuk dengan tugas masing-masing hingga belum ada yang sempat keluar membeli-belah. Jika tiada aral, rombongan MC2 dijangka pulang ke tanah air pada 27 Februari ini.