'Soalnya
Siapa?' garap isu kehidupan
Oleh Zubir Mohd Yunus
MEMBINA kehidupan baru selepas gagal pada masa silam dan usaha menimba ilmu adalah antara rencah atau resipi yang diserapkan kepada masyarakat menerusi filem terbaru terbitan Serangkai Filem, 'Soalnya Siapa?'.
Penerbitnya, Habsah Hassan, berkata 'Soalnya Siapa?' adalah kesinambungan 'Soal Hati' yang memberi tumpuan kepada Nurul Ain (lakonan Erra Fazira) yang tabah menghadapi kenyataan sekalipun pernah dikecewakan dan pernah terlanjur, selain memperbaiki kedudukan supaya dirinya kembali dihargai.
"Setiap orang pernah melakukan kesilapan dan kita tidak boleh terus melakukan kesilapan itu. Sememangnya Nurul Ain diberi didikan agama sejak kecil, namun apabila meningkat remaja, dia kecewa kerana pernah tewas dengan perasaan dan nafsu sendiri sehingga maruahnya terpalit titik hitam.
"Untuk menutup kesilapan itu, Ain melanjutkan pelajarannya hingga ke peringkat universiti kerana dia beranggapan hanya orang yang bodoh dan lemah saja mudah dipermain serta dikecewakan. Ain sedar kelemahan diri masa silam mengundang kekesalan dan dia perlu bangkit melawan perasaan bersalah itu.
"Akhirnya Ain membuktikan dia mampu berdikari selepas ilmu penuh di dada. Walaupun apa yang akan terjadi, dia sudah bersedia dan mampu membuat pilihan yang tepat sekalipun terpaksa menunggu lama untuk menempuh gerbang perkahwinan bersama kekasihnya, Ahmad Daniel (lakonan Afdlin Shauki)," kata Habsah ketika ditemui selepas pratonton 'Soalnya Siapa?' di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Hadir sama barisan pelakon filem itu termasuk Erra Fazira, Afdlin Shauki, Ellie Suriaty dan Sharifah Shahirah, selain pengarahnya, Othman Hafsham. Pelakon lain yang turut membintangi 'Soalnya Siapa?' ialah Wan Maimunah, Khatijah Tan, Zaibo, Piee, Rashid Salleh dan Linda Onn.
Kata Habsah lagi, kekasih lama Nurul Ain, Johari (lakonan Rashid) kembali mencari dirinya dan berhasrat mengambil Nurul Ain sebagai isterinya bagi menebus kesilapan lalu.
"Justeru, terjadilah cinta tiga segi antara Daniel, Ain dan Johari. Ain nyaris membuat kesilapan apabila dia berhasrat kembali ke pangkuan Johari. Daniel benar-benar kecewa dengan sikap Ain dan beranggapan Ain melakukan kesilapan apabila membuat pilihan yang tidak tepat.
"Namun, apabila menyedari Johari masih menganggap dirinya seperti dulu iaitu seorang gadis yang mudah diperdayakan, selain tidak bersungguh-sungguh memiliki dirinya, Nurul Ain akhirnya terpaksa memujuk hati Daniel yang sudah terluka dengan tindakannya sebelum itu.
"Pun begitu, Daniel perlu menunggu lama untuk mendirikan perkahwinan apabila Nurul Ain berhasrat menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebenarnya Nurul Ain bermain dengan masa untuk menguji kesungguhan cinta Daniel terhadap dirinya," katanya.
'Soalnya Siapa?' akan menemui penonton pada malam 20 Disember untuk tayangan tengah malam dan tayangan umum bermula 25 Disember ini menerusi lebih 40 pawagam di seluruh tanah air.
Habsah juga berharap, penonton dapat menghayati maksud dan mesej tersembunyi yang cuba disampaikan menerusi skrip karyanya untuk filem itu.