Din CJ, pengarah Hollywood berentap

PENGGAMBARAN filem 'Mr. Cinderella 2', arahan Din CJ, bermula Isnin lalu dalam keadaan lancar, sesuai dengan keadaan cuaca cerah, diiringi tiupan angin dingin menjadikan cuaca di Christchurch, New Zealand cukup nyaman.

Din CJ yang berambut panjang dan membiarkannya terurai bersedia sejak jam 10 pagi, seolah-olah tidak sabar memulakan penggambaran pada hari pertama membabitkan Rashid Salleh dan Yusry. Penggambaran diadakan di sebuah rumah di Springfield Manor, Springfield.Road.

Rashid juga sudah bersedia dengan kemeja putih dan seluar kelabu, lengkap bertali leher. Sebaik saja Erra Fazira dan Yusry tiba, Rashid mula disolek juru mekap Kay. Kira-kira 10 minit sebelum jam 12 tengah hari, empat krew dari Local Action Film Equipment Limited tiba bersama peralatan yang disewa.

Menurut Din CJ atau nama sebenarnya, Nordin Wahab, lokasi di Christchurch bukan asing baginya kerana pernah datang mengarahkan drama bersiri 'Cinderella' pada 1997.

“Bezanya kali ini saya menghasilkan filem, manakala dulu drama bersiri. Sudah tentu banyak bezanya, terutama dari segi peralatan. Saya juga perlu bekerja mengikut jadual waktu empat krew tempatan kerana mereka dibayar mengikut waktu kerja 12 jam dan mereka diberi waktu rehat lapan jam sebelum memulakan penggambaran.

“Saya memulakan penggambaran di hari pertama dengan babak penting yang membabitkan Shamsul (Rashid) bersemuka dengan Hakimi (Yusry) untuk menyerahkan tempatnya sebagai Pengarah Operasi, Agro Products kepada Hakimi.

“Babak ini menarik kerana Shamsul menyukai Anis (Maya Karin) tetapi Anis menyukai Hakimi serta menawarkan jawatan yang disandang oleh Shamsul kepada Hakim.

“Penggambaran lain membabitkan lokasi di sekitar bandar Christchurch yang diadakan hari kedua, diikuti satu lagi babak besar membabitkan Erra dan Maya di Lapangan Terbang Christchurch. Babak ini penuh dengan emosi kerana buat pertama kali Puteri Megawati (Erra) berjumpa dengan Anis yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan Hakimi.

“Lokasi lain ialah pejabat Agro Products, villa Anis dan juga pelabuhan,” katanya yang mempunyai masa sembilan hari untuk menyiapkan 30 babak di sini.

Pada hari pertama tiada babak untuk Erra, manakala Maya terbabit dengan penggambaran sebelah petang.

Paling membanggakan ialah 'Mr. Cinderella 2' terpaksa bersaing dengan lebih 10 filem lain yang juga rancak dijalankan di sekitar New Zealand sekarang iaitu lima filem Hollywood, dua filem Bollywood dan yang lainnya produksi tempatan.

Difahamkan, bintang Hollywood, Tom Cruise sibuk di lokasi filem terbarunya, 'The Last Samurai', arahan Edward Zwick di Taranaki di Pulau Utara, manakala Julia Roberts baru saja selesai menjalani penggambaran filem terbarunya di Christchurch.

Selepas kejayaan dua filem 'The Lord Of The Rings', New Zealand kini berbangga kerana keindahan negaranya menarik minat produser luar. Difahamkan, 'The Last Samurai' mengadakan penggambaran di sini kerana sesuai dengan jalan cerita bagi filem berlatarkan tahun 1870-an.

Menurut Koordinator Kuasatek, Rahimah Jar, ada beberapa lokasi yang tidak dapat diadakan pada hari dijadualkan seperti Selasa dan Rabu untuk babak di tepi jalan kerana bertembung dengan produksi lain.

“Bayangkan sekarang ini ada lebih 10 produksi sedang menjalankan penggambaran di sini. Saya terpaksa bersaing dengan mereka untuk mendapatkan lokasi sesuai dan juga krew untuk membantu penggambaran. Saya gembira kerana berjaya mendapatkan krew dari Local Action Film Equipment Limited kerana mereka antara yang terbaik di sini,” katanya.

Rombongan 'Mr. Cinderella 2' tiba di Christchurch Ahad lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 27 Februari ini.