Ainina berusaha baiki lakonan Erra

EMPAT pelakon utamanya, Erra Fazira, Yusry Abdul Halim, Rashid Salleh dan Maya Karin sudah terbang ke Christchurch, New Zealand untuk penggambaran selama dua minggu 'Mr Cinderella 2' (MRC2). Peluang ini memberikan sedikit ruang kepada Penolong Pengarah Dialog dan Lakonan MRC2, dramatis popular Ainina Ahmad B untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuannya mengendali serta menyelia barisan pelakon gah tanah air agar sentiasa mengikut landasan lakonan yang wajar.

“MACAM mana ni? Mana boleh cikgu segan nak tegur anak murid?” demikian usik diva Anita Sarawak yang memegang watak Suria dalam filem MRC2 kepada Ainina yang serba tidak kena ketika penggambaran di Shah Alam beberapa minggu lalu.

“Begitu merendah diri dan profesional sikap Anita sehingga membuatkan saya lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas sebagai pembantu pengarah lakonan dan dialog dalam filem ini,” kata Ainina memulakan bicara.

Cerita Ainina lagi, apapun cabaran paling sukar setakat ini ialah pendekatan yang patut digunakan untuk memperbaiki tahap penghayatan watak utama lakonan Erra Fazira.

“Saya sebenarnya sentiasa mengkaji dan memantau perkembangan semasa pelakon tanah air. Seperti lakonan Erra dalam filem terdahulu misalnya Pasrah, Maria Mariana, Sembilu dan lain-lain seakan kekurangan sesuatu.

“Kita nampak usaha Erra untuk cuba menghayati setiap wataknya tetapi malangnya ia masih belum sampai ke ‘situ’. Kadang kala minta maaflah kalau ia sedikit menyinggung, lakonan Erra seperti kosong,” jelas Ainina yang menganggapnya sebagai cabaran.

Menurut Ainina, jika pelakon perlu menitiskan air mata, ia tidak sekadar hanya meletakkan Eye-mo atau Minyak Cap Kapak saja malah tampil dengan tangisan yang mampu meyakinkan dan menyentuh hati serta perasaan penonton.

Namun Erra adalah pelakon yang cukup tinggi dari segi disiplin dan mentaliti serta sentiasa ingin belajar. Di sinilah timbulnya peranan Ainina sebagai mata dan telinga kepada setiap pergerakan mimik, tubuh dan perlakuan aktor dan aktres.

Dari segi dialog pula, tonasi suara, sebutan dan patah perkataan yang keluar dari mulut pelakon mengikut naskhah skrip turut menjadi tanggung jawab Ainina.

“Mungkin pengalaman saya selama berbelas tahun dalam bidang ini mendapat kepercayaan sutradara MRC2, Din CJ untuk membantunya menyelia aktor dan aktres dalam bidang ini.

“Lagipun, saya sudah biasa bekerja dan tahu selok-belok serta apa yang diingini pengarah berpengalaman itu,” katanya yang pernah berlakon dalam beberapa drama di bawah arahan Din CJ.