Filem Malaysia bersaing lokasi di New Zealand

MUSIM panas di New Zealand kali ini memperlihatkan banyak lagi pembikinan filem tempatan dan luar negara yang bertumpu di pelbagai lokasi menarik terutama Auckland, Wellington dan Christchurch.

Selain 'Mr Cinderella 2' (MC2) terbitan Kuasatek Pictures Sdn Bhd lakonan Erra Fazira, Yusry KRU dan Anita Sarawak, filem yang menjalani penggambaran di sini adalah dari Hollywood, Bollywood serta produksi tempatan.

Malah filem terbaru lakonan Tom Cruise, 'The Last Samurai', juga sedang rancak menjalani pembikinan di Wilayah Taranaki, Pulau Utara. Filem terbitan Warner Bros arahan Edward Zwick itu turut dibintangi Timothy Spall, Ken Watanabe dan Hiroyuki Sanada.

Sebelum ini, Julia Roberts dilaporkan baru saja berada di negara ini bagi menyiapkan sebuah filem Hollywood terbaru.

Difahamkan, New Zealand semakin menjadi tumpuan ramai produser dan pengarah dunia selepas dua filem agung Peter Jackson - 'The Lord of The Rings', mencapai kejayaan cemerlang sekali gus meletakkan New Zealand dalam peta lokasi filem yang terindah di hujung dunia.

Jelas diperhatikan, 'The Lord of The Rings' memiliki nilai sentimental kepada rakyat negara ini kerana masing-masing kelihatan berbangga dengan kehebatannya. Malah poster promosi filem itu dengan wajah Elijah Wood dan Liv Tyler, turut dipamerkan di beberapa lapangan terbang antarabangsa di pulau ini.

Bagi rombongan 'Mr Cinderella 2', cuaca segar serta panorama cantik di Christchurch membangkitkan semangat bagi memulakan penggambaran pada hari pertama, Isnin lalu (16 Februari). Rombongan Malaysia seramai 17 orang selamat tiba di sini petang Ahad lalu selepas menempuh penerbangan kira-kira 12 jam.

Antara yang menyertai rombongan itu ialah keempat-empat bintang utama MC2 - Erra Fazira, Yusry, Maya Karin dan Rashid Salleh.

Petugas lain termasuklah Sarimah Jamian (Penerbit Eksekutif Kuasatek Pictures), Din CJ (Pengarah MC2), Khir Mohd Noor (Pengurus Produksi), Kay (juru mekap), Zaitun Kassim (Penolong Pengarah 1), Mazri Mustafa (Penolong Pengarah 2) dan Daven Raghavan (Pengarah Fotografi). Turut sama diundang membuat liputan khas ialah wakil media dari Berita Harian dan Harian Metro.

Ketika ini artis, krew dan petugas menginap di sebuah mansion yang disewa bertempat di Springfield Road. Beberapa babak juga dirakamkan di kawasan rumah rekaan Inggeris itu sebelum krew bergerak ke kawasan lain di sekitar Christchurch dan sebuah ladang bebiri berhampiran.

Bagi pengarah MC2, Din CJ, Christchurch bukanlah asing kerana beliau pernah ke sini untuk menghasilkan drama bersiri 'Cinderella' lakonan Haliza Misbun dan Ahmad Idham. Tugas Din mengemudikan filem yang menelan kos RM1.7 juta itu diperlicinkan dengan bantuan wakil perunding bebas yang dilantik di sini, Rahimah Jar.

Selain itu, Kuasatek juga menggunakan khidmat beberapa krew dari New Zealand kerana ia termasuk dalam perjanjian perfileman yang dimeterai dengan pihak terbabit sebelum ini.

Secara keseluruhan, cuaca di sini cerah dengan tiupan angin yang dingin dan pada sebelah malam pula, cuaca lebih sejuk.

Mengikut jadual, penggambaran dijadual berakhir 27 Februari ini dengan 29 babak penting.

Antara lain babak di sini memaparkan pertemuan Anis (Maya Karin) dan Hakimi (Yusry). Urusan tugas dan hubungan rapat Hakimi dengan Anis menyebabkan teman lelakinya, Shamsul (Rashid Salleh) tergugat. Anis kemudiannya mula jatuh hati dengan Hakimi dan ini mencetuskan konflik. Sementara itu, Puteri Megawatie (Erra) pula berlepas ke Christchurch untuk bertemu Hakimi bagi menjelaskan kenapa dia dipecat daripada syarikat terdahulu. Konflik berlarutan lagi apabila Puteri dan Anis bersemuka.

Din CJ berkata, sehingga kini penggambaran MC2 berjalan lancar dan dia berharap filem itu kelak akan mampu memenuhi selera semua peminat filem tempatan.