METROWEALTH Movie Productions (MMP), kekal sebagai syarikat perfileman tempatan paling cergas buat masa ini berikutan penerbitan filem terbaru mereka, 'Cinta Kolesterol' yang akan memulakan penggambarannya pertengahan bulan depan.
Filem itu juga bakal menyaksikan sekali lagi gandingan Erra Fazira bersama buah hatinya, Yusry Abdul Halim, yang juga anggota kumpulan KRU sebagai watak utama, sekali gus bakal menjadikan filem berkenaan sesuatu yang ditunggu peminat mereka.
Jika sebelum ini Erra sudah bekerjasama dengan penerbit Datuk Yusof Haslam, Habsah Hassan dan Mohd Noor Kadir, kali ini nampaknya pelakon filem wanita paling popular itu mahu meneruskan hubungan baiknya dengan seorang lagi penerbit, David Teo yang sebelum ini sudah menerbitkan enam filem cereka.
Penerbit penyelaras 'Cinta Kolesterol', Abdul Latiff Mohaideen, berkata filem komedi romantik itu akan diarahkan Prof Madya Razak Mohaideen berpandukan karya Shukor Mohaideen yang juga penulis skrip 'Anak Mami The Movie', 'Mami Jarum', 'Mami Jarum Junior' dan 'Mistik'.
Kita tidak ada masalah dengan pengarah dan penulis skrip, termasuk pelakon utamanya masing-masing sudah pun bersiap sedia untuk memulakan penggambaran yang akan bermula 15 Januari ini. Cuma, kita kini sibuk dengan urusan praproduksi, khususnya dari segi pemilihan pelakon pembantu untuk 'Cinta Kolesterol'.
Erra dan Yusry mengesahkan secara rasmi pembabitan mereka dalam filem ini. Kita pun menandatangani kontrak perjanjian dengan mereka. Pasangan popular ini akan membawa watak utama dalam filem ini.
Apa pun, Erra dan Yusry adalah gandingan mantap buat 'Cinta Kolesterol'. Kita faham, kemunculan mereka memang dinantikan penonton filem kita, lebih-lebih lagi peminat setia mereka. Ini ditambah lagi dengan kemunculan sulung mereka dalam 'Mr Cinderella', baru-baru ini, katanya.
Latiff memaklumkan pihaknya akan mengadakan satu sidang media di ibu negara menjelang hujung bulan ini sebagai simbolik pelancaran filem terbaru MMP itu.
Kami menjangka pelakon lain akan mengesahkan pembabitan mereka dalam seminggu atau dua minggu lagi. Pada masa sama, pihak kami sedang mengenal pasti beberapa tempat menarik di seluruh negara untuk dijadikan lokasi penggambarannya, termasuklah di sekitar Kuala Lumpur.
Pengurusan MMP juga sedang mengenal pasti jumlah sebenar peruntukan yang akan dikeluarkan bagi membiayai penerbitan filem ini.
Kita menjangka kos penerbitannya mencecah RM1.5 juta secara keseluruhan, termasuk promosi. Kita terpaksa menggunakan khidmat beberapa pakar solekan dan kesan khas yang akan menjadikan Erra kelihatan gemuk. 'Cinta Kolesterol' lebih kurang sama jalan ceritanya dengan 'Shallow Hal', filem box-office Hollywood yang pernah dibintangi Gywneth Paltrow pertengahan tahun ini, katanya,
Kata Latiff, 'Cinta Kolestrol' secara ringkasnya mengisahkan betapa sayangnya seorang pemuda terhadap kekasih hati yang agak gemuk, malah bertubuh lebih besar daripadanya.
Dia terus mencintai gadis itu biarpun dikutuk dan dicerca rakannya. Ternyata, mereka hidup bahagia. Malah, mereka tidak menganggap perbezaan saiz badan sebagai halangan untuk terus menikmati kehidupan bahagia. Ketika inilah wujud pelbagai aksi dan insiden komedi yang dijangka cukup menarik.
Sebenarnya, 'Cinta Kolesterol' memang menarik jalan ceritanya. Ia lain dari yang lain dan memang berlaku dalam kehidupan kita. Aksi komedi dan lawak jenaka yang bakal dipaparkan nanti amat bersahaja. Tengoklah sendiri di pawagam nanti. Pasti ia membuatkan semua penonton mampu ketawa. Kita juga mahu menyampaikan mesej cinta tidak kenal siapa, paras rupa, saiz dan keturunan.
Filem ini buat pertama kalinya kita terbitkan dengan kerjasama syarikat lain iaitu Erra Fazira Entertainment dan KRU Motion Pictures. Ini membuktikan kita sentiasa bersikap terbuka dan mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak memajukan industri perfileman kita, katanya.
Kita menjangka pembikinan filem ini mengambil masa sebulan. Besarlah harapan kita sekiranya ia dapat ditayangkan menjelang akhir tahun depan. Jika hasrat ini tercapai, bermakna kita ada tiga filem yang akan ditayangkan sepanjang 2003 termasuklah Mami Jarum Junior yang akan ditayangkan bermula 29 Mei ini, sempena cuti sekolah penggal pertama dan Mistik sama ada pada Julai atau Ogos depan.