Apa komen pemenang...
AKO MUSTAPHA (Artis Baru Lelaki Popular)
APABILA nama saya diumumkan sebagai pemenang, badan saya terus berpeluh! Macam tak percaya peminat mengundi saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih pada semua peminat di atas penghargaan ini.
ERRA FAZIRA (Pelakon Filem Wanita Popular juara bertahan)
Saya amat gembira dengan kejayaan ini. Terima kasih peminat kerana masih memberikan kepercayaan dan saya berazam untuk terus memperbaiki kelemahan diri.
ELYANA (Artis Baru Wanita Popular)
Saya terharu dengan kejayaan ini tetapi saya memohon maaf tidak dapat hadir kerana datuk saya meninggal dunia di Klang, awal pagi ini (Ahad). Apapun terima kasih semua peminat dan Berita Harian.
RABBANI (Penyanyi Nasyid Popular juara bertahan)
Alhamdulillah, berdirinya kami di sini sekali lagi adalah kerana sokongan peminat. Malah kami menganggap pengiktirafan yang kami terima ini sebenarnya untuk semua pengiat irama nasyid.
NORLIA GHANI (Artis Komedi Wanita Popular)
Saya memang tak sangka langsung! Sebelum ini saya memang selalu datang ke ABP-BH sebagai tanda sokongan kepada penganjur dan finalis lain. Kalau dulu saya hanya jadi pemerhati, hari ini saya akhirnya berpeluang merangkul trofinya...
SPIDER (Artis Berkumpulan Popular)
Kalau dibandingkan kumpulan lain, Spider masih terlalu muda. Namun kepercayaan peminat meletakkan kami ke tahap ini memang di luar dugaan. Begitupun, kami cukup berterima kasih di atas pengiktirafan ini. Ia menyuntik semangat untuk menonjolkan yang terbaik!
LINDA ONN (Penyampai Radio Wanita Popular juara bertahan)
Terima kasih, terima kasih, terima kasih! Saya tak tau macam mana nak membalas kepercayaan yang diberikan pembaca Berita Harian dan pendengar radio. Apa pun trofi ini membawa makna yang amat mendalam kepada kerjaya saya.
ANDY HAKIM (Penyampai Radio Lelaki Popular)
Sepanjang 16 tahun bertugas di bidang penyiaran, inilah anugerah terbesar yang saya terima. Kalau melihat senarai finalis, saya sendiri tidak menaruh harapan. Jadi apabila diumumkan sebagai pemenang saya amat terkejut. Apa pun saya tidak mungkin merangkul anugerah ini tanpa sokongan pendengar, rakan sekerja, Berita Harian dan THR.
ABBY ABADI (Pelakon TV Wanita Popular juara bertahan)
Saya terharu kerana peminat masih memilih saya mengungguli kategori ini untuk tiga tahun berturut-turut. Semua ini adalah di atas sokongan ramai dan ia juga rezeki anak dalam kandungan. Saya akan terus berlakon selagi terdaya. Insya-Allah saya terus bersama keluarga Gerak Khas hingga Disember ini.
AJAI (Penyanyi Lelaki Popular)
Walau dalam apa jua lapangan sekali pun, saya ingin menonjolkan yang terbaik sama ada bidang penciptaan atau nyanyian. Pengiktirafan ini terus membakar semangat saya untuk aktif di lapangan seni. Terima kasih semua dan Berita Harian!
HALIM OTHMAN (Pengacara TV Lelaki Popular)
Kalau tahun lalu saya menang kategori radio, kali ini rezeki saya beralih
pula ke Pengacara TV Lelaki Popular. Semua ini adalah kerana sokongan dan dorongan
mereka yang sering mengikuti Roda Impian.