SEKURANG-KURANGNYA ada 12 judul filem cereka yang bakal ditayangkan sepanjang tahun ini, iaitu jumlah yang menepati sasaran kerajaan dalam usaha mengembalikan kemeriahan filem tempatan di negara sendiri. Ini juga berdasarkan proses penerbitan filem terbabit sudah siap sepenuhnya, termasuk ada yang sudah memohon untuk ditayangkan menerusi Skim Wajib Tayang.
Filem berkenaan ialah 'Gila-Gila Pengantin', 'Iskandar', 'Laila Isabella', 'Mami Jarum Junior', 'Black Maria', 'Aku Kaya The Movie', 'Mistik', 'Diari Romeo', 'Janji Diana', 'Paloh', 'Trauma' dan 'Lang Buana'. Setakat minggu ini, Unit Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), menyenaraikan empat filem yang sudah diluluskan penayangannya menerusi Skim Wajib Tayang iaitu 'Gila-Gila Pengantin' arahan Aziz M Osman yang akan menemui penonton bermula 31 Januari ini.
Filem lakonan Awie dan Jeslina Hashim, 'Iskandar' akan mengisi pawagam bermula 27 Februari ini, sementara 'Laila Isabella' arahan Rashid Sibir bakal ditayang bermula 27 Mac. 'Mami Jarum Junior' terbitan Metrowealth Movies Production akan ditayangkan bermula 29 Mei. Jurucakap Finas berkata, empat filem berkenaan sudah menghantar permohonan tahun lalu dan pihaknya sudah meluluskan tayangannya mengikut tarikh yang dikehendaki produser.
"Slain itu, ada dua filem lagi yang sudah dihantar untuk Wajib Tayang pada tahun ini dan Finas belum meluluskannya lagi iaitu 'Aku Kaya The Movie' dan 'Black Maria' yang memohon ditayangkan pada April. Kita sedar banyak filem yang akan memohon untuk tayangan 2003 tetapi produser belum menghantar permohonan rasmi termasuk menyerahkan salinan filem untuk ditonton oleh ahli jawatankuasa panel Wajib Tayang. Kita tidak menolak kemungkinan dalam sebulan akan ada dua filem tempatan jika ada 12 filem pada tahun ini," katanya kepada Persada Seni, baru-baru ini.
Difahamkan juga, beberapa penerbit yang kini sedang menjalankan kerja praproduksi dan penggambaran filem mereka dikatakan berminat untuk menayangkan filem pada tahun ini. 'Paloh' terbitan Filem Negara Malaysia dan Finas dikatakan mahu menayangkan filem bercorak epik zaman perang itu pada Mei ini atau pada bulan kemerdekaan, Ogos ini. Filem itu dibintangi Janet Khoo, Namron, Gibran Agi, Ellie Suarity, Ani Mayuni, Dr Samat Salleh dan M Amin
Antara lain yang dijangka ditayangkan musim 2003 termasuklah filem 'Cinta Kolesterol' arahan Prof Madya Razak Mohaideen yang dibintangi Erra Fazira dan Yusry KRU yang mahu ditayangkan pada September atau musim Aidilfitri pada November ini, selain 'Puteri Gunung Ledang' lakonan Tiara Jacquelina dan M Nasir serta 'Jutawan Fakir' lakonan Saiful Apek dan Azza Elite.
Buat masa ini juga, antara filem yang sedang dalam urusan praproduksi dan penggambaran dijangka ditayangkan untuk musim 2004 iaitu filem 'Buli' arahan Afdlin Shauki, selain 'Almayer's Folly' karya U-Wei Saari dan 'Castello' terbitan Rosyam Nor. Filem lain yang sedang dalam perancangan ialah 'Mr Cinderella 2', 'Bintang Hati', 'Damak Kapcai', 'Cinta Beralih Arah', 'Konserto Terakhir' dan 'Putera Merdeka'.
Untuk tahun lalu, filem yang ditayangkan ialah 'KL Menjerit', 'Anak Mami The Movie', 'Idola', 'Mendam Berahi', 'Gerak Khas The Movie 2', 'Embun', 'Mr Cinderella', 'Mami Jarum', 'Cinta 200 Ela' dan 'Soalnya Siapa?'. Pembikinan dan penayangan filem Melayu ini membuktikan industri perfileman tanah air masih lagi bernafas tetapi ia tetap memerlukan sokongan padu semua pihak termasuk khalayak umum sendiri.