SEMUANYA bukan omong kosong. Seperti mana digembar-gemburkan, kepakaran kesan khas dan solekan canggih dari Barat akhirnya dipindahkan Metrowealth Movies Productions (MMP) kepada model, penyanyi dan pelakon jelita, Erra Fazira.
Malah kira-kira 12,000 kilometer dari Kuala Lumpur iaitu di Stockholm, lebih sedozen pakar solekan kesan khas kini mula bertungkus lumus menyiapkan rangka pakaian khas untuk watak si gadis gempal bernama Fazira diketuai perintis Fido Film, Kaj Steveman.
Apa yang menarik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fido Film Stockholm sendiri, Thomas Deutschman dan pakar solekan kesan khas, Eline Kumlander, datang ke Kuala Lumpur, baru-baru ini untuk mendapatkan acuan berkenaan bagi dibawa pulang ke bengkel filem di Sweden.
Inilah teknik pengklonan fizikal yang pertama kali diperkenalkan dalam filem Melayu dan lebih menarik mereka yang terbabit dalam penyediaan kesan khas itu juga pernah mencurahkan kepakaran untuk pembikinan filem blockbuster Hollywood, 'The Lord of The Rings'.
Untuk menjadikan watak Erra kelihatan seberat 120 kilogram hingga 130 kilogram, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kepakaran serta ketelitian serta pengalaman yang luas dalam bidang solekan kesan khas.
Jadi dengan kehadiran Eline, lulusan Stockholm Royal College of Arts, beliau dan Thomas sempat menunjukkan peringkat awal proses berkenaan dijalankan.
Thomas berkata, memandangkan Erra begitu langsing, 150 kilogram mungkin agak keterlaluan buatnya secara logik. Namun mereka akan tetap cuba menghasilkan suatu keajaiban buat 'Cinta Kolesterol'.
Peringkat permulaan, kami menggunakan alginate (sejenis plaster) yang dicampurkan dengan air sejuk. Ia kemudiannya disapukan ke wajah Erra sehingga ke paras dada dan dibiarkan selama 45 minit untuk keras.
Selepas acuan siap, campuran cecair plastik dan collaida silica dimasukkan ke dalam acuan untuk membentuk live cast. Imej itu kemudiannya melalui proses pembentukan menggunakan tanah liat. Di sini, pakar kami perlu membina bentuk penuh watak berkenaan sebelum proses membuat pakaian khas menggunakan latex foam bermula.
Latex foam pula digunakan untuk memenuhkan ruang kosong yang perlu diisi pada imej asal untuk menampakkan kegempalan watak, contohnya bawah hidung, mata telinga, leher, tangan dan badan.
Dalam 'Cinta Kolesterol', saya difahamkan 60 peratus penggambaran memaparkan Era sebagai gadis obesiti, jadi dia perlu mengenakan pakaian khas itu kira-kira 10 hingga 15 hari. Perlu diingat, ia hanya muat untuk seorang saja dan tidak boleh diulang pakai. Ini bermakna untuk setiap hari yang berbeza, Erra perlu memakai latex foam yang baru, katanya.
Di samping itu, Thomas cukup kagum bekerja dengan orang Asia kerana wajah serta mimik muka mereka yang tersendiri.
Orang Eropah terkenal dengan otot wajah yang cukup aktif kerana gemar membuat mimik lucu berbeza, tetapi kerja saya dengan Erra lebih mudah kerana ada bahagian tertentu pada wajahnya yang tidak selalu digerakkan.
Bagaimanapun, tidak semua orang sanggup diri mereka diacuankan. Tapi cuba lihat hasil yang kami dapat... (sambil menunjukkan live cast Erra). Inilah yang kami mahu... imej wajah yang relaks, jelasnya.
Beliau berkata, untuk acuan muka saja ia mengambil masa dua jam untuk dibuat. Ini diikuti empat hingga lima jam solekan sebelum penggambaran bermula serta dua hingga tiga jam lagi bagi menanggalkan serta solekan terbabit.
Thomas berkata, dalam cuaca negara kita yang lembap dan panas, Erra perlulah banyak bersabar apabila memakai solekan khas berkenaan. Namun itu bukan lagi masalah kerana Erra sendiri sudah bersedia untuk membuat kejutan sebelum bersara buat seketika daripada bidang lakonan.
Difahamkan, MMP memperuntukkan sejumlah RM200,000 untuk membuat kesan khas berkenaan dan Erra dijangka memulakan penggambaran wataknya itu pada 15 Mac nanti.