Nantikan Tayangannya 25 December 2002!!!

Alang-Alang: Komedi 'Mami Jarum', 'Soalnya Siapa?' berbeza
Oleh Akmal Abdullah

SUDAH seminggu berlalu, nampaknya kemeriahan Aidilfitri masih hangat dirasai dengan agenda rumah terbuka. Malah, amalan kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi terus berlangsung, termasuklah masih ramai yang berkunjung ke pawagam untuk menonton dua filem Melayu - 'Mami Jarum' dan 'Cinta 200 Ela'.

Dua filem itu masing-masing terbitan Metrowealth dan Pengedaran JAS nampaknya masih mendapat perhatian ramai. Namun, jangan lupa, bermula 25 Disember ini, satu lagi filem Melayu, 'Soalnya Siapa?' terbitan Serangkai Filem menemui khalayak umum.

Saya sudah menonton filem ini menerusi tayangan khas pada Ramadan lalu. Sesuatu yang boleh diberi pujian untuk filem ketiga terbitan Habsah Hassan ini ialah kerana pengisiannya yang matang dan mantap. Ini filem komedi romantik yang banyak memberi sindiran, teguran dan nasihat. Moral cerita ini bergerak dalam senyap di sebalik tema utamanya sebagai sebuah filem cinta komersial yang disukai penonton masa kini.

Filem arahan Othman Hafsham ini juga mengajak penonton untuk merenung buat seketika identiti dan imej Melayu-Islam dalam kehidupan. Ia tidak disampaikan secara langsung atau bernada khutbah tetapi dalam imej komedi, bersahaja dan permainan kata bual. Banyak yang tersirat dan harus difahami. Ini mesej tersembunyi yang berselindung di sebalik kisah cinta dua watak utamanya, Ahmad Daniel (Afdlin Shauki) dan Nurul Ain (Erra Fazira).

Terus terang saya katakan filem ini seolah-oleh cuba menegur kita. Sesiapa yang menontonnya pasti akan terasa hati dan sedikit sebanyak pasti terkena batang hidung sendiri. Jika orang tua mungkin tersedar pada babak lakonan Piee yang gusar apabila anak muda menyuruhnya menjadi imam. Walaupun sudah berusia lanjut, hal agama masih lemah pada dirinya dan untuk menjadi imam solat Maghrib, pelbagai alasan diberikan sebagai taktik mengelak.

Begitu juga anak muda lelaki yang kononnya mahu gadis suci dan bersopan untuk bakal isterinya sedangkan dirinya sendiri bergelumang dosa dan pernah berfoya-foya dengan perempuan.

Pemikiran Habsah yang menulis skrip filem ini nyata mahu ‘berbakti’ buat bangsanya supaya sedar akan tanggungjawab sebagai manusia Melayu yang beragama Islam dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Tidak guna kaya harta tetapi miskin jiwa dan akal budi.

Malah, slogan filem ini juga menarik yang berbunyi: “Tidak guna ada mata kalau tidak boleh melihat, tidak guna ada hati jika tidak tahu menilai...”

Mereka yang menonton 'Soalnya Siapa?' juga mampu tersentak dengan beberapa siri dialog wataknya yang menyindir. Ia nyata tidak boleh lari dengan kehidupan kita masa kini. Habsah menjadi pemerhati sosial yang baik dan membawa apa yang dirasai di persekitarannya dalam filem ini.

Sentuhan Hafsham nyata masih ada kekuatannya dan setanding dengan imej filemnya terdahulu - 'Mekanik', 'Adik Manja' dan 'Soal Hati'. Gaya pengarahannya ringkas dan mudah tetapi isinya mencengkam. Semangat budaya Melayu masih terserlah dengan pemilihan set di Melaka - betapa simboliknya Melayu yang indah dan mendamaikan. Dalam konsep hiburan, filem ini bukan sebuah karya komersial kosong atau nampak biasa seperti filem Melayu sekelasnya tetapi Soalnya Siapa? masih mampu memberi suntikan emosi, pemikiran dan spiritual yang memperkuat elemen hiburannya sebagai filem komersial berjiwa.

Dalam pada itu, saya terdengar juga khabarnya filem 'Trauma' dan 'Laila Isabella' dikatakan ada sedikit masalah dengan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF). Betulkah?

Alang-alang hendak beraya, biarlah sampai sebulan!