Erma Fatima
IBADAH korban mempunyai pengertian tersendiri bukan sekadar mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih anaknya sendiri malah membuktikan kesetiaan kepada Allah. Kami juga ingin berkongsi rezeki yang kami terima ini dengan insan lain. Sempena ketibaan Aidiladha ini, kami turut mengorbankan 10 ekor lembu di mana tiga ekor akan dibawa ke Sik, Kedah.
Yusry
KALAU di KL, sambutan hari raya haji tidak semeriah Aidilfitri. Tapi semua umat Islam tetap meraikan kehadiran Aidiladha dengan mengadakan ibadah korban. Masa paling saya tunggu-tunggu ialah sembahyang raya dan selepas itu barulah diadakan korban. Bagi saya majlis seperti ini dapat mengeratkan hubungan sesama umat Islam sekali gus menerbitkan keinsafan, katanya.
Rashidi Ishak & Vanidah Imran
AIDILFITRI membawa makna mendalam kepada semua umat Islam. Sebagai muslimin, saya bersyukur dapat berkongsi rezeki yang kami sekeluarga terima dengan orang lain. Biarpun sambutan tidak semeriah Syawal, ia tetap diraikan dan ada juga yang mengambil kesempatan ini untuk mengunjungi sanak saudara dan taulan. Macam biasa, kami sekeluarga menyambutnya di KL saja, kata Rashidi.
Lynn
Syukur kerana tahun ini saya berpeluang untuk bersama Yayasan Seni Karya Prihatin mengadakan majlis korban. Walaupun tak seberapa tapi kami harap ia diberkati Allah. Lagi pun korban bukan satu beban kerana ia hanya diwajibkan pada mereka yang berkemampuan. Apa salahnya kita berkongsi kesenangan dengan insan lain kerana pada kita ada hak mereka, katanya.
Erra Fazira
SEPERTI umat Islam lain, hari raya haji juga patut disambut dengan meriah malah di sebaliknya kita juga perlu menginsafi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Saya bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk berkongsi rezeki dengan insan lain. Walaupun tidak membuat persediaan seperti Aidilfitri, saya tetap menunggu kehadiran hari raya haji, katanya.
Nurul & Ajai
Kami sekeluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Aidiladha untuk semua umat Muslimin. Kami hanya menyambutnya di KL. Walaupun tidak semeriah Syawal, kami tetap menyediakan juadah istimewa. ia mengingatkan kita pada masakan ibu di kampung. Apa pun kami bersyukur dapat bersama-sama melakukan ibadah korban tahun ini, kata Nurul.