PERTARUHAN Erra Fazira dan Norman Hakim, bersama sokongan pelakon Syanie dan Juliana Banos berjaya melonjakkan sambutan terhadap filem 'Gila-Gila Pengantin' sejak ia ditayangkan 30 Januari lalu. Dalam tempoh 12 hari tayangan, filem terbaru arahan Aziz M Osman itu kini mampu mencecah kutipan RM1.8 juta, pencapaian yang boleh dibanggakan, sekali gus menunjukkan kelompok penonton filem Melayu amat menyukai filem hiburan ringan.
Kutipan didapati cukup memberangsangkan di Lembah Klang dan Johor, terutama kutipan tertinggi di pawagam Mega Pavillion, Johor Bahru. Pengurus Pemasaran Skop Productions, Rosman Ibrahim, berkata pencapaian kutipan itu agak melegakan biarpun filem Melayu disaingi filem import.
Katanya, dalam tempoh seminggu saja, kutipannya sudah mencecah RM1.5 juta dan hingga Isnin lalu (kelmarin) kini sudah memasuki 12 hari tayangan menjadikan kutipan sudah mencecah RM1.8 juta. Kita yakin sambutan akan terus memberangsangkan terutama pada cuti Aidiladha dan hujung minggu ini.
Promosi bergerak yang membabitkan pelakon 'Gila-Gila Pengantin' diteruskan hingga Ahad lalu di sekitar Johor, katanya kepada Persada Seni. Filem itu diterbitkan menerusi kerjasama Ace Motion Pictures dan Skop Productions, iaitu pertama kali juga diterbitkan Aziz menerusi syarikatnya sendiri dengan kerjasama Datuk Yusof Haslam.
Pelakon lain yang turut membintanginya ialah A R Badul, Hairie Othman, Salih Yaacob, Osman Kering, M Rajoli, A Galak, Aimi Jarr, Kismah Johar, Faridah Ku Shafie, Umi Salmi Ali dan Kapten Wan Nafisah. Kumpulan Les Sekinchan turut menjadi artis undangan.
Rosman juga berkata, 'Gila-Gila Pengantin' kini masih ditayangkan di rangkaian 40 pawagam di seluruh negara termasuk di Singapura dan Brunei.
Kita harap sambutannya lebih baik sehingga tempoh dua minggu lagi, iaitu sebelum filem Melayu lain mengisi pawagam pada akhir bulan ini, katanya.