Mr Cinderella: Erra tunggu reaksi peminat
Oleh Hardi Effendi Yaacob

SELEPAS beralih angin daripada pengarahan Datuk Yusof Haslam, Erra Fazira, nampaknya semakin cenderung berlakon dalam beberapa filem berkonsep komedi romantis.

Bermula dengan dua filem arahan Othman Hasfham, Soal Hati dan Soalnya Siapa, terbitan Serangkai Filem, Erra kini tampil dengan filem komedi romantis terbarunya, Mr Cinderella.

"Ini perkembangan yang sihat dalam kerjaya seni bagi mana-mana pelakon. Saya percaya untuk menjadi seorang pelakon yang baik, kita perlu mencuba pelbagai watak selagi ada peluang.

"Saya berharap penampilan saya dalam filem komedi romantis juga akan diterima dengan baik oleh semua peminat saya. Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada Yusof Haslam kerana dialah yang mula-mula menggilap bakat saya sebagai pelakon,"

Erra yang membawakan watak Puteri Megawati dalam Mr Cinderella juga akan muncul dalam Tayangan Amal Perdana di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Majlis itu dianjurkan dengan kerjasama Kuasatek Pictures dan Lembaga Kemajuan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) dengan tujuan mengumpul dana bagi membina sebuah pusat kebajikan yang dikenali sebagai Teratak Emas.

Mr Cinderella adalah filem sulung terbitan bersama Kuasatek Pictures dan Skop Productions yang diarahkan dramatis popular, Ahmad Idham Ahmad Nazri berdasarkan jalan cerita tulisan Mohd Noor Abd Kadir.

Ia turut dibintangi Yusry KRU yang digosipkan hangat bercinta dengan Erra, selain Umie Aida, Aziz M Osman, Helmi Gimmick, Opie Zami, Khatijah Ibrahim dan Serina Redzuawan, Kudsia Kahar, AR Badul, Osman Kering dan Ropie Cecupak.

Secara ringkasnya, Mr Cinderella memaparkan kisah seorang puteri raja yang berusaha mencari seorang jejaka misteri. Ia bermula apabila puteri itu terbabit dalam satu kemalangan jalan raya dan jejaka berkenaan tampil membantunya.

Bagaimanapun, jejaka itu kemudiannya menghilangkan diri dan tercicir sebelah kasutnya di tempat kejadian itu.

Seterusnya, puteri itu menawarkan ganjaran wang RM500,000 bagi sesiapa yang dapat menjejaki pemilik kasut berkenaan.

Bagi peminat filem di negara ini, nantikan tayangan Mr Cinderella yang dijadualkan bermula pada 29 Ogos ini.