Erra terkejut, gembira
Oleh Suzan Ahmad

Dengan status kutipan kasar filem Mr Cinderella yang berjaya mengutip RM1.2 juta dalam masa empat hari tayangan, teraju utamanya Erra Fazira Wan Chik atau Erra Fazira ada sebab untuk terus ceria apabila turut tersenarai sebagai finalis Anugerah Bintang Popular 2002 (ABP-BH 2002).

Tercalon dalam dua kategori iaitu Penyanyi Wanita Paling Popular dan Pelakon Wanita Paling Popular, bagi bekas ratu cantik ini ia umpama kejayaan berganda biarpun sekadar tercalon.

“Terkejut dan gembira yang mampu Erra katakan kerana pembaca Berita Harian dan peminat masih ada kepercayaan kepada diri ini,” katanya ceria.

Bagi penyanyi dan pelakon yang sedang hangat dikaitkan menjalin hubungan cinta dengan hero Mr Cinderella, Yusry KRU untuk turut tersenarai bersama-sama finalis lain sudah cukup memadai.

“Walaupun apa keputusan pada 13 Oktober 2002 nanti untuk dapat bersama-sama merasai debaran finalis lain dalam kategori yang sama sesuatu yang begitu berharga buat Erra,” katanya.

Erra yang ditemui ketika proses rakaman rancangan khas sempena hari raya terbitan Astro Rumah Terbuka Erra Fazira, juga berbangga kerana Astro sudi memilihnya menjadi tuan rumah rancangan yang pernah menampilkan Tan Sri SM Salim tahun lalu.

Menampilkan penerbit yang kini lebih selesa ‘terbang bebas’, Nik Ramzi Nik Hassan, Rumah Terbuka Erra Fazira menerapkan konsep muzikal komedi.

Dengan artis undangan seperti Salleh Yaakob, Shamsul Ghau-Ghau, Abot, Ferhad, Sheila Rusly, Maya, Ziana Zain, Datuk M Daud Kilau, Danny X-Factor, Adrina, Chef Wan dan Rem rancangan khas itu turut mendapat sentuhan Kamarul Zamly Ramly sebagai penulis skripnya.

“Kebanyakan artis yang terbabit dalam program ini adalah penyanyi dan pelakon, hanya dua orang pelawak iaitu Salleh Yaakob dan Shamsul Ghau-Ghau, jadi kita boleh lihat gelagat serta kebolehan artis ini beraksi secara komedi,” jelas Erra yang akan turut membintangi filem terbaru terbitan Skop Production, 'Janji Diana'.

Selain artis popular, Rumah Terbuka Erra Fazira yang dijangka ditayangkan pada 1 Syawal nanti turut disertai bakat Astro sendiri seperti Farhin dan Yasmin Hani.

ANTARA babak menarik dalam Rumah Terbuka Erra Fazira.

Erra FAZIRA dicalonkan dalam dua kategori ABP-BH 2002 iaitu Penyanyi Wanita Paling Popular dan Pelakon Wanita Paling Popular.