JIKA anda mempunyai otak yang bergeliga, tinggalkan saja ia di rumah. Jika anda jenis yang suka banyak bertanya, rasanya filem ini agak kurang sesuai.
Filem 'Mr. Cinderella' lakonan pasangan hot dewasa ini, Yusry dari kumpulan KRU dan Erra Fazira, merupakan filem romantik dengan sentuhan humor yang seringan kapas.
Tanpa sebarang mesej berat yang ingin diketengahkan, 'Mr. Cinderella' amat sesuai untuk mereka yang datang ke panggung semata-mata untuk berhibur, ketawa dan bersantai.
Anda hanya perlu tahu serba sedikit kisah dongeng Cinderella yang berasal dari Barat.
Dari situ, anda akan menyedari betapa kisah dongeng yang umum diketahui telah diubahsuai dalam konteks dunia masa kini dengan sentuhan humor tersendiri.
Segala-galanya ibarat ditunggangterbalikkan.
Tajuknya - 'Mr. Cinderella' - saja sudah janggal di telinga.
Filem karya Mohd Noor Kadir dan arahan pelakon, Ahmad Idham, itu gabungan dua syarikat penerbitan, iaitu Kuasatek Pictures Sdn Bhd dan Skop Productions Sdn Bhd.
Kisah bermula dengan penulis skrip, Hakimi (Yusry), menyelamatkan nyawa gadis berketurunan raja, Puteri Megawati (Erra Fazira) dari negara Indera Puri Darul Kasih, yang terlibat dalam nahas kereta.
Akibatnya, Hakimi tertinggal sebelah kasut yang dipinjam daripada temannya, Kumin.
Sejak itu, Puteri Megawati cuba menjejaki pemilik kasut tersebut.
Ada tawaran hadiah - wang tunai RM500,000 ($230,000).
Seperti kisah Cinderella, ramai yang mendakwa pemilik sah kasut tersebut. Maka, berderet-deretlah calon yang ditemu bual untuk mencari calon yang tulen.
Lakonan Yusry dalam filem ini ternyata jauh lebih baik berbanding filem sebelumnya.
Hai... maklumlah, mungkin ekoran adanya 'sumber inspirasi' yang bergandingan dengannya.
Anak tukang masak terkenal Chef Wan, Serina Redzuawan, dalam penampilan pertamanya dalam sebuah filem - menghidupkan watak wartawan - ternyata penuh berkeyakinan.
Yang terang-terangan ialah usaha mengangkat nama penaja filem - penonton dapat menyaksikan bagaimana jenama CNI diubah menjadi syarikat berita, Cable News International (CNI).
Usaha memperkenalkan sub-plot (jalan cerita sampingan) mengenai hubungan Melor (Umie Aida), bekas isteri Hakimi yang kini berkahwin dengan Bob (Aziz M. Osman) buat sementara, dapat dijangka.
Namun, gurau senda di antara mereka untuk menambahkan rencah lelucon kurang meninggalkan kesan.
Begitu juga dengan teman Kumin yang asyik menagih hutang.
Adegan seumpama itu rasanya bukan saja tidak perlu, malah menggenjotkan kelancaran jalan cerita.
Muzik latar untuk babak-babak lucu bagaimanapun agak menarik.
Begitu juga dengan penampilan Sultan (M. Rajoli) dan Permaisuri (Khatijah Ibrahim).
Penampilan mereka jauh daripada gaya ketua negara kecuali dalam bab mengisytiharkan cuti umum.
Lakonan M. Rajoli yang selamba begitu hidup, apatah lagi dengan dialognya yang antara lain berbunyi:
'Ini titah Sultan yang digazet (warta) kerajaan... patik boleh murka...'
Kemudian, apabila Kumin khabarnya bakal menjadi menantu, sultan bertitah:
'Kanda tengok muka Kumin aja 'dah hilang selera nak makan...'
Begitulah kisah apabila teman 'Mr. Cinderella', si Kumin, mengakui diri sebagai 'Mr. Cinderella'.
Bagi mereka yang kerap mendengar radio Era, saksikan penampilan bos stesen tersebut, Kudsia Kahar, selaku penerbit filem bernama 'mahal', Mumtaz Mahal Bte Shah Jahan.
Mumtaz Mahal meminta Hakimi menyiapkan skrip filemnya, 'Mr. Cinderella'.
Dari situ, Hakimi perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada wartawan yang rapat dengan Puteri Megawati, Siti Shahirah lakonan Serina. Dan dari situlah...
Kalau nak tahu kesudahan ceritanya, silalah tonton sendiri.
Cuma cara filem ini berakhir agak menggenjotkan - samalah dengan bagaimana pancaragam yang membawa muzik sedih dalam acara pertunangan puteri tiba-tiba mendendangkan lagu Hindustan, 'Kuch Kuch Hota Hai'.
'Kan filem kelakar namanya...
TAK SAMA SANGAT CERITA ASAL
KALAU hendak dibandingkan antara cerita asal Cinderella dengan filem Mr. Cinderella,
tentulah ada perbezaannya. Maklumlah, rambut sama hitam, kasut... eh, silap,
hati... lain-lain.
Antaranya:
Cinderella tukar jantina
Cinderella yang asal seorang gadis, Mr. Cinderella lakonan Yusry pula bermisai berjanggut, malah bergelar duda seorang anak! Tambahan pula, Mr. Cinderella tidak punya ibu tiri atau kakak-kakak yang suka buli.
Sebaliknya, Mr. Cinderella tinggal bersama seorang temannya, Kumin, yang masih bujang trang tang tang...
Jenis kasut yang tertinggal
Kalau Cinderella dalam cerita dongeng Barat tertinggal kasut kacanya, Mr. Cinderella pula tertinggal kasut buruk yang nampak macam kanvas aja. Harga kasutnya, RM19.90 ($9).
'Dahlah itu, kasut Mr. Cinderella itu kasut pinjam!
Senario ketika kasut hilang
Jika Cinderella kehilangan kasut tatkala bergegas dari istana raja setelah menghadiri majlis tari-menari dengan sang putera raja, lain ceritanya dengan Mr. Cinderella.
Beliau kehilangan kasut semasa cuba menyelamatkan sang puteri di jalan raya...