SYUKURLAH kerana perang (barangkali storm in a tea cup lebih sesuai) di antara tiga produser Datuk Yusof Haslam, Mohd Noor Kadir dan David Teo gara-gara berebutkan Erra Fazira untuk filem masing-masing sudah berakhir. Sebelum itu teman bimbang juga, bukan sebab ketiga-tiga mereka ini dekat di hati orang Berita Harian tetapi kerana tidak mahu persada seni tanah air hanya kecoh dengan pertelingkahan sebegini.
Tetapi apabila difikirkan kembali, barangkali ada hikmahnya apabila perkara sebegini berlaku. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa banyak mudaratnya kalau kita hanya bergantung kepada seorang pelakon saja untuk memastikan sesebuah filem itu laku.
Satu Malaya tahu bahawa filem yang meletakkan Erra Fazira tidak pernah mengecewakan, sekurang-kurangnya dari aspek komersialnya. Lupakan sementara mengenai mutu sesebuah filem itu. 'Sembilu', 'Sembilu 2', 'Maria Mariana', 'Mariana Mariana 2', 'Pasrah', 'Soal Hati', 'Gerak Khas The Movie', 'Soalnya Siapa?' dan 'Mr Cinderella', semuanya boleh dikatakan mampu menarik orang kita ke pawagam.
'Mr Cinderella' yang sarat dengan cinta Erra dan Yusry kebetulan pula pasangan ini juga dikatakan bercinta di luar skrin berjaya mengutip RM2 juta. 'Soalnya Siapa?' juga setakat ini sudah mencecah RM2 juta. Lega semua hati produser. Barangkali faktor ini jugalah yang mendorong bos Metrowealth Movies, David Teo, untuk mengambil Erra berlakon.
Setelah gagal dalam tiga filem 'Syukur 21', 'Mendam Berahi' dan 'No Problem' (yang rupa-rupanya banyak problem?), tentunya David tidak mahu menghadapi sebarang kerugian lagi. David orang bisnes. Orang bisnes memang perlu mengambil risiko. Tetapi nampak gayanya banyak sangat risiko yang David sudah ambil. Nasib baik ada 'Mami Jarum' yang mampu menaikkan semula maruah David Teo sebagai seorang produser filem.
Yusof dan Mohd Nor pun orang bisnes juga. Mereka juga kerap mengambil risiko. Setahu teman, terlalu banyak risiko yang sudah diambil Mohd Nor. Betapa banyak hutang yang perlu dilunaskan stesen televisyen kepada produser yang soft spoken ini. Begitu juga dengan Yusof yang no nonsense apabila tiba bab bisnes. Jadi, masing-masing ada pelaburan yang perlu dijaga dan ditimbang tara.
Erra Fazira dilihat sebagai the one and only aktres yang laku setakat ini. Orang kata Julia Roberts Malaysia. Nak salahkan Erra pun tak boleh juga. Masa tengah laku inilah hendak buat duit pun. Orang kata bala jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Mat Salleh kata, strike the iron when it is still hot.
Barangkali, Erra juga melihat sesuatu dalam 'Cinta Kolesterol' yang dapat menjadi titik permulaan baginya untuk lebih serius dalam show business. Erra pun hendak jadi wanita bisnes juga. Apatah lagi, dia dikelilingi mereka yang memang ada otak bisnes. Bakal abang ipar, Norman Abdul Halim, memang kaki bisnes. Takkan selamanya dia mahu menjadi pelakon dan penyanyi. Jadi, dalam hal ini memang tak boleh salahkan sesiapa.
Rumusannya, cari, bentuk dan didik aktres lain. Jangan harapkan Erra Fazira seorang. Dulu, lakonan Erra pun kaku. Tetapi setelah dibentuk dan dilentur, sekarang lakonannya semakin baik. Kalau semuanya mengharapkan Erra, kacaulah. Erra pun sudah semakin sibuk. Teman harap Erra bijak menguruskan jadualnya. Mana nak berlakon, mana nak menyanyi lagi! Itu tidak termasuk jemputan menghadiri majlis.
Teman pun kadang kala pening kepala juga melihat kerenah si Erra ini. Ada juga permintaan Bintang Popular dan Berita Harian yang tak dapat ditunaikannya. Ramadan lalu, bos besar teman mahu wajah Erra dan artis lain termasuk Siti Nurhaliza diabadikan dalam cover untuk Syawal. Atur punya atur, rupa-rupanya Erra kata dia ada dubbing 'Janji Diana'. Teman garu kepala apabila sumber berkata, mana ada dubbing malam itu!
Baru-baru ini pula, Erra janji hendak datang bagi meraikan pelancaran wajah
baru Berita Harian yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental. Tetapi setelah
majlis habis, batang hidung Erra pun tak nampak. Bos besar teman sudah bertanya.
Teman pun tak tahu apa nak jawab. Camelia yang hadir pada majlis sama dengan
Erra sebelumnya pun tunjuk muka. Norman, yang sibuk ke hulu ke hilir pun tetap
datang walaupun majlis hampir hendak selesai.
Yalah... teman tahu Erra memang sibuk. Barangkali Camelia tak sesibuk Erra.