Erra marah pun muka masih cantik!

BERLAKON salah, tak berlakon pun salah. Begitulah keluh Erra Fazira apabila saya bertemunya di lokasi 'Mr Cinderella 2' di Empire Tower, baru-baru ini.

Kata Erra, kalau tolak tawaran berlakon, nanti apa pula kata produser dan pengarah. Mulalah orang menuduhnya pemilih, cerewet dan jual mahal. Tapi apabila sudah berlakon, berderet-deret muka Erra Fazira muncul di panggung sampaikan orang kata: “Eh tak ada muka lain ke, balik-balik Erra Fazira!”

Saya hanya tertawa melihat telatah Erra pada petang itu. Ini kerana dalam nada yang semacam marah pun, mukanya masih tetap cantik! Yalah, memang dah bekas Ratu Cantik Malaysia pun. Kalau tidak, masakan artis baru, Ezlynn juga sebut nama Erra dalam lagunya, 'Hi Hi, Bye Bye'.

Sambil mengunyah makan putu bambu yang memang menjadi kegemarannya di bilik solek itu, Erra mengakui dia mahu menarik brek sekejap selepas habis membintangi 'Cinta Kolesterol' arahan Prof Madya A Razak Mohaideen nanti.

“Erra nak rest sekejap lepas ni. Tak tahulah bila pula nak berlakon semula. Erra cuma nak menyanyi dan buat satu konsert solo. Itu plan Erra selepas 'Cinta Kolesterol'. Harap-harap semuanya OK,” katanya yang sekejap duduk dan sekejap berdiri.

Saya hanya mampu berpesan supaya Erra membuat setiap tugasnya termasuk berlakon dengan setulus ikhlas. Kalau serius dan jujur berlakon, filem keluar berderet-deret pun, ia bukan masalah. Lagipun perkara itu bukan bidang kuasanya kerana yang menentukan pola tayangan filem di pawagam kita adalah pihak produser dan Finas.

Tapi Erra agak terkejut kerana filem lakonannya yang sedang ditayangkan, 'Gila-Gila Pengantin' arahan Aziz M Osman, mendapat sambutan baik. Malah saya sendiri dengar, ada peminat filem yang telefon Linda Onn minggu lepas bukan main seronok bercakap pasal 'Gila-Gila Pengantin'. Mereka sanggup tengok filem itu berulang-ulang kerana terhibur dengan persembahan Erra dan pelakon lain. Baguslah.

Malah dalam filem itu, Erra tetap profesional berlakon dengan bekas kekasihnya, Norman Hakim dan hasil lakonan mereka yang gila-gila itu memang melucukan.

“Prinsip Erra... yang sudah tu, sudahlah. Kita kerja kenalah profesional kan? Lagipun dunia artis kita ini pun tak besar mana, pusing-pusing jumpa juga,” kata Erra apabila ditanya mengenai Norman ataupun sesiapa saja.

Bilang punya bilang dengan jari, rupa-rupanya Erra sudah berlakon berbelas filem sejak menceburi dunia seni pada awal 90-an. Mengenang kembali pembabitannya dalam dunia filem, Erra terharu kerana dididik ramai pengarah seperti Datuk Yusof Haslam, Yusof Kelana, Othman Hafsham, Ahmad Idham, Rashid Sibir, Din CJ dan tidak lama lagi, Prof Madya A Razak Mohaideen.

Saya bertanya Erra lagi, tidakkah dia mahu berlakon filem period atau art-movie. Cukupkah hanya dengan filem komersial semata-mata dan lengkapkah nanti resumenya?

“Memang Erra nak sangat tapi belum ada tawaran sesuai. Kalau ada pun, bercanggah dengan jadual kerja Erra pula. Tapi satu hari, memang Erra nak berlakon art-movie,” kata Miss Malaysia 1992/93 itu.

Jelas, keramahan dan senyuman Erra tidak pernah pudar seperti mana yang mula-mula mengenalinya pada 1991. Ketika itu saya baru merasai ghairah menjadi wartawan hiburan di akhbar top dan sensasi, Harian Metro.

Masih ingat lagi, sewaktu saya mula kenal Erra, dia hanyalah gadis yang menggilai dunia motor. Bayangkan satu hari ketika menghadiri sebuah majlis makan malam di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur, tiba-tiba saya dan rakan setugas dikejutkan dengan kemunculan Erra yang masuk ke coffee house dengan superbikenya! Rupanya itu hanya gimik daripada hotel terbabit untuk kami semua...

“Eh lawanya Minah Motor ni. Elok juga aku interview dia buat Personaliti Metro, mesti bos suka,” kata saya kepada teman di sebelah. Lalu bermulalah dunia glamour Erra yang pertama kali diwawancara wartawan, seterusnya menjadi Miss Malaysia dan kini bergelar seorang superstar bintang pujaan.

Namun seperti yang saya katakan, senyum, ramah dan manja Erra tetap sama - tidak kira pada 1991 mahupun 2003. Tidak ada perangai lupa diri atau mabuk glamour dalam dirinya dan dalam soal ini, saya kena tabik artis yang bernama Erra Fazira.