TUNGGU 'SURPRISE' DARI ERRA
Oleh: Azman Abd Rahman

Dua tiga bulan jugak tak jumpa penyanyi / pelakon popular Erra Fazira, tengok makin jelita pulak dia sekarang. Tapi badannya pun nampak sedikit susut. Mungkin kerana kesibukannya akhir-akhir ini dengan pelbagai aktiviti seni di samping penat nak jawab gosip tentang percintaannya bersama si dia.

Kata Erra, dia semakin sibuk bila album terbarunya berjudul 'Sampai Bertemu' masuk pasaran. Sesekali terdetik juga di hati BB, dia ni tak pernah kenal erti letih ke? Maklumlah kudrat perempuan... "Tak letih? (soalnya tersenyum)... Erra pun manusia biasa jugak. Memang Erra akui dari awal tahun 2002 hinggalah sekarang aktiviti Erra 'non-stop'. Dari penggambaran 'Mr. Cinderella', kemudian muncul pula album ni selepas album 'Koleksi Istimewa Buatmu'. Tu tak campur lagi dengan undangan 'show' yang Erra terima. Kalau nak difikirkan, boleh pengsan dibuatnya.

Seperti biasa, kalau dah ada album baru kena bergerak pulak rangka promosi. Sekarang baru aje selesai promosi, Erra terlibat dengan penggambaran filem terbaru Erra berjudul 'Soalnya Siapa', yang baru saja memulakan penggambaran.

Filem ini sambungan kepada filem 'Soal Hati' dan merupakan filem ke sebelas Erra selepas 'Mr. Cinderella'. Tu tak campur lagi dengan promosi filem 'Mr. Cinderella'. Macam mana? Penat tak tengok jadual Erra?" soalnya tersenyum sambil menjeling manja ke arah BB.

Terkedu jugak BB bila mendengar panjelasan Erra mengenai jadualnya tu. Memang padat dan meletihkan. Apalagi untuk dihadapi oleh seorang wanita lemah lembut sepertinya.

"Kalau macam tu, tak hairanlah kalau Erra mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti Erra pada tahun hadapan ye? Manalah tahu kot-kot tahun depan ada 'perkara penting' yang ingin ditumpukan. So, tahun ni kenalah bekerja keras sikitkan Erra... tak gitu?" senda BB membuatkan Erra tergelak kecil;.

"Perkara penting apa tu...? Jangan nak pandai-pandai haa... pada Erra, bekerja kuat tahun ni tidak bermakna Erra akan 'slow' tahun hadapan. Erra tetap aktif seperti biasa sekiranya rezeki Erra murah di tahun 2003. Tentang nak beristirehat dan menumpukan 'perkara penting' seperti apa yang dimaksudkan tu, tak pernah terlintas difikiran Erra tau!" pantas jawabnya menghentikan sementara persoalan yang sedang bermain-main di benak BB.


Soal Cinta

Seperti biasa, berkesampatan berjumpa dengan bekas ratu cantik ini tidak sah kalau kisah peribadinya tidak ditanya.

Walaupun BB tahu jawapan yang bakal diberikan akan menghampakan dan tiada kepastian seperti kebiasaannya, namun BB cuba alihkan persoalan kepadanya dengan bertanyakan, "Kenapa setiap kali soalan cinta diajukan kepada Erra, jawapan yang diberikan pastinya tiada kepastian hingga membuatkan orang tertanya-tanya dengan pelbagai persoalan?"

Selamba katanya, "Ialah... siapa yang suruh tanya soalan tu? Siapa yang pandai buat soalan cubalah jawab sendiri ye! Dah, Erra sendiri tak tahu nak jawab macam mana so, tolonglah jawab untuk Erra. Boleh..." tegasnya berseloroh.

"Sebenarnya Erra sendiri pelik, kenapa benda-benda macam tu sering sangat ditanya dan soalan-soalan yang ditanya tu pulak macamlah Erra sendiri dah buat pengakuan mengenainya.

"Apa yang lebih peliknya, ramai pulak yang lebih tahu daripada Erra mengenai kisah peribadi Erra ni. Semua ni termasuklah tarikh tunang Erra, tarikh kahwin Erralah dan yang kelakarnya ada pulak yang pandai-pandai meramalkan pasangan untuk Erra! Walhal, Erra sendiri tak tahu menahu mengenai perkara ini.

"So, macam biasa yang Erra katalah... kalau dah sampai masanya, kahwinlah Erra. Dengan siapa, bila dan di mana sama-samalah kita tungu kerana Erra sendiripun tiada jawapan yang pasti. Sebab itulah bila ditanya mengenai perkara ini jawapan Erra pun tiada kepastian yang betul-betul pasti.

"Begitu juga mengenai judul album terbaru tu, 'Sampai Bertemu'. Ramai pulak yang bertanya dengan siapa pulak Erra ingin bertemu? Siapa insan bertuah tu?

"Sebenarnya judul album tu diambil bersempena sebuah lagu yang terkandung dalam album ni. Lirik lagu ditulis oleh Amran Omar. Memang kalau dilihat pada lirik tu, ianya nampak seolah-olah Erra ingin bertemu dengan seseorang yang istimewa hingga sanggup menunggu dalam penantian yang penuh penyeksaan.

"Tapi pada Erra, lagu tu tak lebih daripada penantian Erra untuk bertemu dengan peminat yang Erra sayangi. Tak lebih dari itu," ujarnya manja sambil meminta soalan berkaitan dengan kisah cintanya tidak terlalu disentuh kerana dia sendiri tiada jawapannya.

Iye ke cik Erra oii... tapi bila difikir-fikirkan, kalau tak ada angin, masakan pokoknya bergoyangkan? Betul tak Cik Erra?