Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini banyak produksi filem menerbitkan filem-filem cereka terbaru, meskipun industri perfileman kita masih lagi belum pulih. Inilah satu-satunya semangat yang mesti ada pada setiap pengusaha filem kita kerana perjuangan untuk mengangkat industri filem kita bukanlah mementingkan keuntungan semata-mata.
Bagi produksi yang sememangnya telah kukuh, sudah pastilah akan terus melahirkan filem-filem bermutu yang sesuai dengan situasi sekarang. Contohnya, Skop Productions, masa demi masa terus melahirkan filem tanpa jemu dan kebetulan pula setiap filem terbitannya sudah pasti menjanjikan yang terbaik sehingga mendapat sambutan hangat penonton.
Filem terbaru terbitan Skop ialah 'Janji Diana' yang menggabungkan pelakon popular dan ternama seperti Rosyam Nor, Erra Fazira dan Sarimah Ibrahim. Dari nama-nama pelakon berkenaan sudah membayangkan kepada kita betapa hebatnya filem itu nanti.
Aduhai telah berkesempatan turun kesalah satu lokasi penggambarannya dan telah sempat merakamkan beberapa adegan yang sedang digambarkan. Untuk tatapan semua, dipaparkan di ruangan ini adegan-adegan berkenaan dan semoga anda berpuas hati dan menanti penuh debar tayangan filem berkenaan.
Sinopsis:
Diana gadis bebas laku yang sedang mencari identiti dirinya setelah sekian lama terperangkap dalam masalah sosial. Masanya lebih banyak dihabiskan dengan berpoya-poya tanpa visi dan hala tuju dalam kehidupan. Ibu Diana meninggal dunia ketika dia masih di alam persekolahan.
Walaupun Diana disaluti kemewahan tapi hubungan dia dengan ayahnya Murad tidak begitu baik. Dia masih lagi prejudis terhadap sikap ayahnya yang dianggap punca kematian ibunya dan hanya menurut cakap isteri mudanya (Anita).
Dalam pergolakkan emosi akibat tekanan sosial dan prejudis terhadap lelaki, Diana telah bertemu dengan Haikal yang cuba mengubah sikapnya dalam usaha Haikal ingin mencari seorang wanita untuk dijadikan isteri. Haikal seperti juga Diana, dia hilang kepercayaan pada wanita bila mengetahui tunangnya sendiri (Sabrina) tidak jujur dan punyai hubungan dengan lelaki lain.
Hubungan Haikal dan Diana tidak disenangi Ijoy, lelaki hidung belang yang menjadikan perempuan pemuas nafsunya. Ijoy ada sejarah-sejarah bersama Diana. Dia adalah kekasih pertama Diana dan Ijoy lelaki pertama merosakkan Diana.
Sementara itu Zetty (adik Haikal) menjalin hubungan dengan Kamal (kawan Ijoy). Walau bagaimanapun Haikal sering mengawasi mereka kerana bimbang dengan keselamtan adik tunggalnya.
Selang tidak berapa lama, hubungan Haikal dan Diana mulai rapat. Masing-masing terasa ada keserasian. Namun keadaan menjadi kalut bila Sabrina muncul dan mencari jalan untuk memisahkan Diana dan Haikal.
Di sebalik kekalutan ini, Haikal digemparkan dengan berita adiknya Zetty menjadi mangsa rogol. Apakah kesudahannya? Siapakah yang terlibat menodai adik Haikal?
Bagaimana Sabrina yang menyimpan dendam dengan Diana? Apakah kesudahan hubungan
Haikal dan Diana? Jawapannya hanya setelah anda menonton 'Janji Diana' sebuah
filem yang membongkarkan gejala sosial di kalangan remaja kota. Antara noda
dan dosa... antara cinta dan maruah diri.