"Erra Nekad Hendak Belasah Dia…!!" - Erra Fazira

Ramai yang mengejar selebriti popular ini sejak album terbarunya 'Sampai Bertemu' berada di pasaran. Personaliti yang dimilikinya membuatkan ramai yang menyenanginya. Dia tidak memilih bulu untuk melayan sesiapa, malah di pihak media sekalipun, Erra Fazira tidak menentukan hanya media tertentu sahaja yang akan mendapat layanan istimewanya.

Ketika bersama kami, ternyata Erra memberikan sepenuh komitmen walaupun diwajahnya terpancar riak-riak keletihan, manakan tidak dia terpaksa menghabiskan penggambaran filem-filem yang telah ditandatangani kontraknya. Pun begitu, kata Erra, apa yang diingininya dalam tahun 2002 ini telah tercapai dan memang Erra sibuk 'giler' dengan berbagai urusan termasuklah mempromosikan album dan filem-filem lakonannya.

Ketika ini Erra sedang sibuk dengan penggambaran filem 'Gila-Gila Pengantin' (GGP) arahan Aziz M. Osman dan Dato' Yusof Haslam secara usahasama. Wah meletup lagi nama Erra dengan Norman, walaupun masing-masing sudah berpunya.

"Sebaik filem GGP selesai, sambung pula promosi untuk filem Mr. Cinderella. Walaupun begitu Erra tidak pernah mengeluh kerana mempunyai waktu yang terlalu singkat untuk bersama keluarga atau kawan-kawan, yang penting penting, bijak membahagikan masa. Bukan setakat itu sahaja, pelakon begitu sinonim dengan pengarah bergelar Six Million Dollar Man iaitu Dato' Yusof Haslam, sekali lagi akan dipertemukan untuk sebuah filem yang bercorak fighting. Sebab itulah sekarang ini Erra sedang melengkapkan diri untuk filem seterusnya. Janganlah pula anggap Erra tamak kerana dah tangkap sampai tiga atau empat buah filem dalam masa setahun. Erra hanya cuba lakukan setakat mana yang mampu. Itu pun ada yang Erra terpaksa tolak sebab sudah tidak berkemampuan lagi untuk membawanya," akui Erra lagi.

Cuba tengok aksi-aksi Erra dalam foto-foto menarik ini siapa pulak yang bakal menerima tumbukan padu Erra ni...? Siapa yang Erra hendak fight ni... nampak gayanya bukan calang-calang orang yang akan menjadi belasahan Erra nanti. "Hmmm... itulah Erra pun kenalah bersedia dari sekarang sebab dia yang hendak Erra lawan ni pun bukan boleh pandang sebelah mata aje. Kalau Erra tidak buat semua ni... nampaknya senang-senang ajelah orang tu... nak lipat Erra (sambil tergelak manja). Sebabnya dia ni... ada black belt lagi." Siapa lawan Erra tu...? "Jangan tak tahu Erra akan berlawan dengan Sarimah untuk filem 'Keranamu Maria'. Dalam cerita ini Erra pegang watak seorang yang agak nakal so, banyaklah adegan-adegan yang memang Erra sendiri pun tidak sabar hendak lakonkan. Kena pula dengan Sarimah yang memang kepala gila-gila tu... mesti best... Lagipun inilah pertama kali kami akan digandingkan bersama," terang Erra yang sesekejap ada sahaja incoming call (haa... dari siapa tu...!!)

Erra nak lamar Datuk 5 tahun lagi?

Selain dari itu apa pula perancangan Erra untuk tempoh 5 tahun akan datang ini, memandangkan Erra kini masih memegang tampuk populariti yang tiada tandingannya sebagai artis tempatan.

"Erra megharapkan yang Erra dapat melebarkan lagi sayap dalam dunia hiburan walaupun mungkin ketika itu Erra tidak lagi bergerak sebagai penyanyi atau pelakon. Erra berkeinginan untuk membuka sebuah production house."

"Dan ketika itu Erra akan melamar Dato' Yusof sebagai pelakon kerana Erra pernah bercakap dengan Datuk sendiri yang suatu hari nanti Erra teringin untuk menawarkan watak kepadanya. Tetapi yang syoknya Datuk sendiri pun berikan respon yang baik dengan cakap-cakap tak berkontrak itu. Yelah... sebelum ini memang Erra banyak berlakon dibawah arahan dia, jadi sedikit sebanyak mesti kita ingin juga menjadi seperti dia suatu ketika nanti," beritahu Erra yang nampak memang garang ketika berlatih boxing di TNT KickBoxing ini.

Antara kami belum ada tanda...

Menyentuh tentang hubungannya dengan hero filem Mr. Cinderella, Yusry KRU, Erra mengaku tidak mahu lagi dengar cerita-cerita tentang hubungan cintanya itu. "Memang kami berdua sedang berkawan baik sekarang dan masih lagi diperingkat saling kenal mengenal hati budi masing-masing. Tetapi kalau orang lain lebih tahu akan masa depan kami, lebih baik kami tak payah berkawan. Sebab orang boleh buat spekulasi yang hubungan kami akan jadi macam ni atau macam tu."

"Jadi jangan terlalu ghairah sangat untuk bercerita tentang kami. Sebab kami sendiri belum pasti bagaimanakan ending kepada episod hubungan kami ini. Kalau jodohnya panjang, Insya-allah, akan berterusan. Dan satu lagi jangan terlalu menaruh harapan terhadap hubungan percintaan kami kerana sebagaimana yang Erra katakan tadi, ia belum ada tanda apa-apa lagi yang membolehkan Erra kata antara kami adalahn milik masing-masing," jawab Erra seperti cuba meyakinkan sesuatu kepada peminatnya.