Selepas majlis merisik, Erra & Yusry bertunang 3.3.03

SEDAP & tak sedap!!! Ha... di bulan puasa ini Huzz nak cakap cerita sedap dan tak sedap pulak. Tapi bukan cerita lauk-pauk di bazar Ramadan yang tumbuh macam cendawan di sana sini di musim hujan la ni, tapi cerita pasangan cinta yang macam pisang goreng panas tu. Ha... semua orang nak tahu kisah cinta dia orang kan?

Siapa lagi... Erra Fazira yang cun tu dan pakwe dia Yusry KRU yang handsome bermata cantik tu la. Haaa yang sedap tu Huzz diberitahu oleh seseorang pada petang Selasa lalu. Beliau mendakwa:

``Huzz, Yusry dah suruh keluarganya melamar Erra. Ha... majlis merisik menemui keluarga Erra Fazira pada baru-baru ni. Mereka dah rancang nak bertunang dan bernikah.

``Tarikh tunangnya ialah Mac depan. Pada 3.3.03 Huzz!''

Haa tu cerita sedap tu. Satu Malaysia tentu terkejut kan. Setelah Huzz membongkar kisah cinta mereka akhir tahun lalu... nampaknya mereka benar-benar serius nak berumah tangga. Dah mengatur majlis merisik dan sudah buat janji-janji manis menjelang hari pertunangan dan perkahwinan.

Yang tak sedap tu beberapa hari sebelum Yusry dan Erra berlepas ke tanah suci Mekah (mereka pergi 10 November lalu dan mengelakkan wartawan merakamkan gambar mereka di KLIA), Huzz ada membuat sesi fotografi bersama mereka untuk Hari Raya.

Huzz pun tanya laa macam mana bab kahwin tapi jawapan Yusry: ``Tak buat perancangan lagi.'' Haiii boleh gitu... merahsiakan kononnya ya. Ha... tengok tu akhirnya ada hamba Allah memberitahu Huzz kisah sebenarnya.

Rupa-rupanya dah buat rancangan dalam diam-diam. Tak nak kecoh kononnya tu. Patutlah masa fotografi sebelum mereka ke tanah suci... nampak mesra. Bila gambar tu siap Huzz nampak berseri-seri macam pengantin. Foto tu akan dapat anda saksikan dalam majalah Mangga terbaru (sedang di pasaran - banyak cerita eksklusif termasuk satu pengakuan menarik oleh Yusry dan Erra).

Okeylah berbalik bab dah merisik dan nak bertunang, petang Selasa lalu (12 November) selepas Huzz diberitahu mengenai majlis diam-diam dia orang tu, Huzz pun terus menghubungi Norman KRU, abang Yusry.

Nak tanya Erra dan Yusry macam selalu... tak boleh sebab kedua-duanya dah ada di Mekah. Telefon ditutup.

Nak tahu apa pulak jawab Norman? Ha... katanya: ``Siapa dah beritahu Huzz hal ni? Apakah dia di kalangan saudara kami? Macam ni laa Huzz, you pun tahu kan selama ini apa yang you tanya tak pernah I tak jawab. Tapi bab majlis dia orang tu... apa yang I boleh katakan, you tunggu laa dia orang balik. Biarlah tuan punya badan menjawab.

``I pun dah kata dah... hal begini pihak wartawan akan tahu juga, yelah sumber mereka ada di mana-mana saja... jadi I tak boleh komen apa-apa.''

Haa... macam mana dengan tarikh 3.3.03?

``Ala soal tarikh tunang tu pun tanya laa dengan dia orang. Bayang-bayang tu adalah tapi saya ni tak nak komen laa.

``Bagaimanapun saya sebagai abang tak salahkan wartawan kalau nak cari cerita ni sebab saya akui dah tentu kisah cinta, tunang dan kahwin artis akan sentiasa jadi buruan.

``Macam hari tu saya dengar Huzz, Mama Juwie dan ada wartawan lain (Farah dari tabloid tempatan) ke KLIA nak hantar dia orang ke Mekah, tapi tak dapat ambil gambar. Saya pun bimbang kalau nanti ada cerita kontroversi muncul.

``Bagaimanapun yang saya tahu kedua-duanya tak nak publisiti untuk pergi mengerjakan umrah.''

Begitulah jawapan jujur Norman.

Haa... Norman susah nak jawab laa ya bab majlis merisik dan rancangan bertunang ya.

Malah bila Huzz tanya bab hantaran RM10,000 atau RM50,000 pun Norman takut nak jawab. Betul juga, kalau dah kena pesan jangan bocor rahsia... tentulah tak boleh buat macam tu. Jadinya sekarang Huzz nak tunggu laa Erra dan Yusry balik. Pastinya bukan saja Huzz, semua wartawan hiburan akan bersiap sedia dengan soalan-soalan cepumas, soalan manja untuk dua pasangan bahagia ini.

Huzz tak marah kalau dia orang nak merahsiakan... tapi biarlah berterus terang dengan minta kami simpankan rahsia. Janganlah menidakkan yang benar.

Ingat laa yang hadir ke majlis merisik, tunang atau kahwin tu... bukankah di kalangan orang Melayu juga. Bukannya orang yang tak kenal muka artis. Oleh itu tak sesuailah kalau nak main sorok-sorok lagi!

Ada yang bertanya pada Huzz, apa hal si Erra tu nak sorok dan suruh rahsiakan cerita ni? Pada Huzz kalau Erra nak sorok sangat tu Huzz fahamlah kenapa. Maklum, dia dah pernah bertunang dengan Awie. Akhirnya tak jadi. Oleh itu dia mungkin lebih suka cerita ini dirahsiakan. Tapi Erra kena ingat... dia juga public figure, pendek cerita kalaulah si Erra naik pentas dah kainnya terkoyak ketika menari... pun menjadi bahan tulisan wartawan sebab dia tu orang terkenal.

Macam tu juga Yusry... dia sekarang bukan saja penyanyi kumpulan KRU, ramai dah jatuh cinta pada lakonannya bila filem Mr. Cinderella lakonannya meletup jadi sebut-sebutan.

Ha... tapi ingat, sekarang Erra dan Yusry sudah ada ikatan permulaan sebelum majlis bertunang dan kahwin. Jangan ada yang nak mengorat atau jatuh cinta dengan dia orang pulak.

Jangan laa ada nak kebas salah seorang pulak.

Mana-mana hartawan kaya yang rindu nak bercinta dengan Erra tolong padamkan cinta anda, mana-mana anak dara yang syok pada Yusry... ingat... dia tu buah hati Erra, bakal bertunang! Tolong jangan kacau kebahagiaan dia orang!

Okeylah Erra dan Yusry... balik 19 November nanti kita jumpa dan berborak lagi naa!

Nak menafi ke... nak mengiakan ke... itu adalah hak anda berdua setelah cerita majlis merisik dan nak bertunang 3.3.03 yang diberitahu kepada Huzz oleh seseorang, dihebahkan.

Di sini sebenarnya Huzz tumpang gembira bila mendengar kedua-duanya bersedia nak disatukan. Bagaimanapun Huzz berharap persediaan nak mendapat gelaran suami dan isteri tidak sekadar kerana cinta saja, tapi banyak hal perlu dipelajari.

Jadilah pasangan cinta bahagia macam artis-artis yang berjaya meredah badai dan taufan di alam rumah tangga. Jangan kahwin macam bintang Hollywood tu. Tengah sedap I love you bila dah tak sedap (tak suka)... I cerai you!

Tentunya di tanah suci Mekah kedua-duanya mendoakan kebahagiaan cinta dan kasih yang berpanjangan! Huzz pun mendoakan dia orang agar bahagia selamanya.