Erra dan Yusry dijangka nikah Mac
HANTARAN KAHWIN RM33,333,33

3 November lalu, seramai enam wakil keluarga Yusry KRU termasuk ibu (Zarina Abdul Wahab Fenner) dan ayahnya (Abdul Halim Kamal) berkunjung ke rumah keluarga Erra di Taman Tun Dr Ismail untuk merisik. Ia genap seminggu kedua-dua artis popular itu bertolak ke Mekah (10 November) untuk menunaikan Umrah.

Kunjungan keluarga Yusry telah disambut kira-kira 12 keluarga Erra termasuk nenek artis popular itu Hajah Siti Zubaidah Haji Jalin. Kedua-dua pihak kemudiannya telah bersetuju untuk menyatukan Erra dan Yusry dengan hantaran kahwin sejumlah RM33,333.33. Tarikh pertunangan kedua artis popular itu dijangka akan berlangsung pada 8 Mac 2003, tetapi ada pihak mendakwa tarikh tersebut mungkin berlangsungnya pernikahan.

Sebentuk cincin emas putih telah diserahkan kepada keluarga Erra untuk disarungkan ke jarinya tanda sudah berpunya. Bagaimanapun, difahamkan Erra dan Yusry tidak hadir dimajlis tersebut melainkan ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja.

Terdahulu, Erra dan Yusry telah berangkat ke Mekah untuk mengerjakan Umrah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Erra, kemudiannya, telah dilihat mengucup tangan ayah dan ibu mertuanya dengan mesra sekali sekaligus menimbulkan andaian bahawa mereka berdua kemungkinan bernikah di Mekah.

Dalam pada itu, beberapa peminat yang ditemui melahirkan pendapat berbelah bagi berhubung perkembangan terbaru itu yang mereka sifatkan sebagai 'sudah dijangka'. Segelintir dari mereka ada juga yang melahirkan rasa kesal kerana sebelum ini Erra enggan berterus-terang dan kerap berdolak-dalih hingga pernah membuat penjelasan mengatakan dia dan Yusry 'berkawan bukan sampai nak kahwin'.