Tiga jelitawan kongsi petua
SUDAH pasti ramai yang tidak akan menafikan bahawa tiga artis wanita ini sama cantik dan sama bergaya. Astro, melalui program XY episod ke-25 dengan judul Jelitawan Hebat, mengajak ketiga-tiga jelitawan berkongsi pandangan mengenai kecantikan serta petua penjagaan diri. HANISAH SELAMAT berpeluang menemui mereka dan hos program itu, Fahrin dan Ida, di Studio 2 baru-baru.
APABILA tiga gadis jelita berkumpul - Erra Fazira (tengah), Maya Karin (kiri) dan Camelia - apakah agaknya topik yang menjadi tumpuan mereka? Jika tidak kerana kehadiran mereka itu adalah untuk berbincang mengenai dunia kecantikan, barangkali mereka lebih senang dan selesa berbicara soal lain saja.
Namun itulah yang akan berlaku jika kecantikan seseorang itu begitu ketara. Misalnya, Camelia, apabila berpeluang bersua muka, perkara yang terlintas di fikiran ialah raut wajahnya yang semakin jelita ditambah pula dengan penampilannya yang semakin anggun dan bergaya dengan fesyen etnik kontemporari.
Malah, kecantikannya jugalah yang membuatkan dia dipilih untuk menjadi jurucakap kosmetik berjenama L'Oreal. Dia juga kerap diundang ke majlis pertunjukan fesyen sama ada di dalam atau luar negara.
Erra Fazira, yang kini masih lagi jurucakap Avon, apa kurangnya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kecantikannya itulah yang membuka banyak peluang dan ruang baginya untuk menguji nasib dalam bidang nyanyian dan lakonan. Sebagai wanita yang pernah menjadi Ratu Cantik Malaysia, siapalah yang mahu mempertikaikan kecantikannya?
Begitu juga dengan Maya Karin, gadis kacukan Jerman-Melayu yang baru-baru ini terpilih sebagai Artis Paling Jelita dalam majlis Anugerah Parti Cit-Cat. Kalau pun perjalanan kerjayanya sebagai anak seni tidak begitu menyerlah - jika jualan album dan jumlah filem menjadi kayu ukurannya - tetapi sekurang-kurangnya dia masih lagi dianggap memiliki wajah komersial.
Barangkali faktor itu jugalah yang mendorong Astro Ria untuk mengundang mereka bagi program XY episod ke-25. Bertepatan dengan judul Jelitawan Hebat, mereka yang tidak keterlaluan untuk digelar antara selebriti tercantik negara, tidak lokek berkongsi pandangan serta petua penjagaan diri.
Pengacara XY, Fahrin dan Ida menggunakan kesempatan untuk 'memancing' tumpuan tetamu undangan supaya terus berborak secara santai. Pokok perbincangan meliputi pelbagai aspek termasuk tugas sebagai jurucakap produk, penjagaan imej dan pengalaman bersama peminat.
Sesekali kedengaran gelak ketawa berkumandang di segenap studio apabila ada di antara topik mencuit hati terutama telatah Fahrin yang cuba mengusik artis jemputan itu. Namun tiba suatu tahap, Fahrin dan Ida semacam kehabisan idea dan soalan untuk dilontarkan kepada Maya, Erra dan Camelia. Mungkin itulah antara kelemahan yang boleh dipertingkatkan oleh pengacara dan penerbit rancangan itu.
Bercerita mengenai rahsia kecantikan, bagi selebriti yang kini menjadi rebutan produser filem, Erra, ia banyak berkaitan faktor luaran dan dalaman.
"Tak guna berwajah menarik kalau hati diselaputi perasaan hasad dengki. Seboleh-bolehnya saya ingin mengelakkan sikap negatif begitu dari dalam diri ini," katanya.
Bagi rakan seperjuangannya, Camelia, jelita adalah sesuatu yang kompleks dan sebagai insan dia bersyukur dilahirkan cukup sifat dan anggota.
Bagi saya setiap wanita perlu berusaha untuk kelihatan cantik, tidak perlu berbelanja mahal kerana yang penting cara pembawaan kita," katanya.
Pendapatnya turut disokong penyanyi Erti Cinta, Maya Karin yang mengatakan sebenarnya kosmetik juga banyak membantu penampilan seseorang.
"Saya bukanlah seorang yang sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli alat solek berjenama, tapi kalau ia memang diperlukan, sesekali apa salahnya," katanya tersenyum.
Selain perbincangan terbuka, episod Jelitawan Hebat ini diakhiri soalan berkisar kajian terhadap 900 responden yang mengatakan lelaki tidak memahami masalah wanita. Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan mengikuti episod Jelitawan Hebat ini, nantikan kemunculannya Mei ini, hanya di saluran Astro Ria.